Perkenal undang-undang baharu, AI perlu beroperasi secara bebas - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri), dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh (dua dari kanan), menghadiri Forum Ekonomi ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) 2025 yang berlangsung pada Rabu. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri), dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh (dua dari kanan), menghadiri Forum Ekonomi ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) 2025 yang berlangsung pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Satu undang-undang baharu perlu digubal bagi membolehkan kecerdasan buatan (AI) beroperasi secara bebas tanpa tertakluk kepada undang-undang tradisional negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, meskipun undang-undang sedia ada melindungi aspek kedaulatan sesebuah negara, peraturan baharu perlu diwujudkan bagi menyesuaikan diri dengan transformasi teknologi masa hadapan.

“Jika kita mahu mengguna pakai AI, maka kita tidak boleh terus terikat dengan kefahaman lama berkenaan kedaulatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 bertemakan “The Intelligent Grid: Building Bridges Through Sovereign AI Collaboration” anjuran majalah Fortune di sini, pada Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun beberapa negara-negara ASEAN dan GCC baru memulakan libat urus dengan Malaysia, sudah wujud asas kukuh dari segi kesepakatan bersama membabitkan isu-isu penting.

"Ini termasuk tadbir urus, hubungan antarabangsa dan penerimaan teknologi baharu seperti transformasi digital dan tenaga alternatif.

"Apabila anda mempunyai pemimpin yang berfikiran sama, menggalakkan teknologi baharu dan perubahan, sebarang pencapaian ini tidak dapat dijayakan jika kita tiada asas kepercayaan antara satu sama lain," kata beliau.

Pendirian sedemikian penting dalam menggalakkan kerjasama sempadan yang menyaksikan penglibatan ASEAN dan GCC dapat meyakinkan China untuk turut serta dalam perkara tertentu.

Asas sedemikian juga, kata Anwar, disokong oleh hakikat ASEAN yang secara relatifnya merupakan antara rantau paling aman di dunia selain statusnya sebagai ekonomi paling pesat berkembang manakala GCC pula terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam bidang tenaga boleh baharu, transformasi digital dan AI.

Artikel Berkaitan:

"Tiada gunanya semua ini seperti menganjurkan persidangan antarabangsa jika kita tidak dapat meyakinkan pasukan untuk mengemukakan perjanjian yang amat bermakna.

"Oleh itu, izinkan saya berkongsi rasa puas hati terhadap hasil kerjasama yang membuktikan kejayaan mampu dicapai dengan berlandaskan kerjasama antara kerajaan, industri serta komuniti perniagaan," kata beliau.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan dalam senario landskap global yang berubah, kebimbangan yang ada asasnya tidak boleh diketepikan kerana turut menyentuh aspek nilai, kepercayaan, keperibadian, pemahaman sejarah dan identiti kebangsaan.

Beliau juga menyifatkan sistem politik global semasa sebagai mengalami "defisit nilai" dan menggesa agar sebarang teknologi baharu tidak diterima secara melulu tanpa mengutamakan asas etikanya.

"Dalam soal AI misalnya, kita tidak boleh mengelaknya tetapi pada masa sama perlu memastikannya tidak melenyapkan maruah kemanusiaan dan keadilan," kata Anwar.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pendidikan dan pemikiran kritikal sebagai teras dalam usaha memperkasa pelbagai perspektif.

Merujuk sejarah perjuangan ketika Revolusi Perindustrian, beliau mengingatkan mengenai kesan bahaya mengulangi kesilapan lampau yang hanya menjejaskan nilai kemanusiaan.

"Kita perlu menyokong teknologi baharu dan AI sambil bertindak menangani kesilapan asas yang boleh memburukkan keadaan," kata beliau.

Anwar mengakhiri perkongsian beliau dengan menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai bukti jelas kegagalan kecanggihan teknologi dalam mempertahankan nilai dan maruah kemanusiaan.

"Di sebalik semua teknologi baharu dan AI, kita masih gagal merungkai persoalan asas: Apakah erti sebenar menjadi seorang manusia," kata Perdana Menteri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!