Tiga restoran kotor diarah tutup dua minggu

Tiga premis yang kotor diarah tutup perniagaan selama 14 hari oleh MBPP.
Tiga premis yang kotor diarah tutup perniagaan selama 14 hari oleh MBPP.
A
A
A

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Tiga premis makanan di daerah Timur Laut diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati tidak mematuhi syarat kebersihan dalam Operasi Bersepadu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada malam Khamis.

MBPP dalam kenyataannya memaklumkan, ketiga-tiga premis berkenaan ditutup serta-merta berkuat kuasa dari 21 Ogos hingga 3 September ini di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establishment Makanan) MPPP 1991.

“Penutupan itu dibuat berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus di kawasan stor, tempat penyimpanan makanan beku serta dapur,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut MBPP, sebanyak 14 kompaun turut dikeluarkan kepada pengendali makanan yang gagal mengemukakan kad suntikan anti-tifoid mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 12(1), UUK Pengendali Makanan MPPP 1983.

“KPDN turut mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis makanan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal memaparkan harga caj perkhidmatan dalam Ringgit Malaysia.

“Sebuah lagi premis dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, Seksyen 14(6), kerana menggunakan alat timbang yang tidak disahkan untuk tujuan perdagangan,” katanya.

MBPP menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu seumpama itu bersama agensi penguat kuasa lain dari masa ke masa bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa terjaga.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!