Kedai runcit, restoran penuh najis tikus diarah tutup

GEORGE TOWN - Selepas tiga restoran di daerah Timur Laut diarah tutup dalam operasi kebersihan pada Khamis lalu, empat lagi premis perniagaan termasuk restoran di daerah Barat Daya turut dikenakan tindakan sama.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
Menurut MBPP, penutupan selama 14 hari itu berkuat kuasa dari 22 Ogos hingga 4 September selepas pemeriksaan oleh Jabatan Pelesenan MBPP mendapati tahap kebersihan kesemua premis berkenaan tidak memuaskan.
“Empat premis terbabit ialah dua restoran dan dua kedai runcit.
“Premis ini dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establishment Makanan) MPPP 1991 selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan serta penemuan najis tikus di stor, rak jualan, ruang penyimpanan makanan beku dan dapur,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, MBPP turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dua kedai runcit lain kerana meletakkan barang dagangan dan peralatan perniagaan di laluan awam serta kaki lima hingga menghalang pergerakan orang ramai.
“Tindakan sitaan dibuat mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Dalam operasi sama, satu papan tanda iklan turut diturunkan dan disita kerana dipamerkan tanpa lesen sah berdasarkan Undang-Undang Kecil Iklan MPPP 2000.
“Kami akan terus melaksanakan operasi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan serta pematuhan undang-undang berada pada tahap memuaskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

