Tiga restoran kotor diarah tutup

Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 32 premis makanan dan hasilnya, tiga daripadanya dikenakan arahan penutupan.
Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 32 premis makanan dan hasilnya, tiga daripadanya dikenakan arahan penutupan.
A
A
A

KUALA LUMPUR: Tiga premis makanan di sekitar ibu negara diarah tutup selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati ia beroperasi dalam keadaan kotor serta gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.

Penutupan itu dilakukan menerusi Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) Bil. 22/2025 yang dijalankan di beberapa lokasi termasuk Jalan Gombak, Jalan Chengal Selatan, Platinum Walk, Jalan Danau Niaga 1, Taman Koperasi Polis Fasa 1, Desa Melawati, Diamond Square, Jalan Usahawan 7 serta Kampung Padang Balang di kawasan Parlimen Wangsa Maju.

Menurut kenyataan DBKL, pemeriksaan dilakukan ke atas 32 premis makanan, dan tiga daripadanya dikenakan arahan penutupan.

“Sebanyak 44 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya pemilik atau pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan tidak menghadiri kursus pengendali makanan, perangkap minyak tidak dipasang atau tidak diselenggara di bawah sinki, kewujudan najis tikus dan lipas di dapur serta rak penyimpanan makanan.

"Pemeriksaan juga mendapati keadaan lantai dan dinding ruang dapur yang kotor, kewujudan sisa makanan, tindakan meletakkan kerusi dan meja di kaki lima, selain ada premis yang tidak memiliki lesen perniagaan sah," katanya.

DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik premis makanan mematuhi standard kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!