PTPTN terap nilai semangat merdeka, bebas hutang

GEORGE TOWN - Sempena sambutan bulan kemerdekaan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengajak masyarakat agar mengambil semangat kemerdekaan dengan membebaskan diri daripada belenggu hutang melalui amalan menabung dan pengurusan kewangan yang berhemah.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemerdekaan bukan hanya dilihat dari sudut negara, malah masyarakat juga perlu memerdekakan diri daripada kesempitan kewangan dengan melunaskan hutang selain menabung serta mengurus kewangan secara bijak.
"Frasa Rakyat Disantuni dalam tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni jelas mencerminkan peranan PTPTN dalam memastikan masyarakat, khususnya pelajar, sentiasa dibantu mendapat peluang pendidikan tinggi secara sama rata tanpa mengira latar belakang.

"PTPTN berbangga menjadi pemangkin kejayaan dengan menyediakan kemudahan pinjaman, skim simpanan pendidikan serta inovasi digital yang memudahkan urusan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masa depan lebih cerah dan inklusif," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang, Ts Nor Hisham Abbas; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Zawawi Ahmad dan Guru Besar SK Sungai Gelugor, Isma Sharni Mohamad Saad.

Dalam majlis itu Norliza turut menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 100 pelajar memerlukan di sekolah terbabit.
Dalam pada itu, Norliza berkata, PTPTN terus menggalakkan budaya menabung melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai manfaat.
Antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak, kerajaan serta patuh syariah.
“Kami mengambil kesempatan dalam program ini untuk menghebahkan kepada orang ramai perkhidmatan PTPTN dan kepentingan untuk menabung kerana apabila mereka ingin menyambung pengajian mereka tidak perlu membuat pinjaman pendidikan yang banyak.

"Kita mahu transformasikan masyarakat daripada berhutang kepada amalan menabung. Saya rasa program seperti ini sangat penting kepada PTPTN yang mana kita bersama rakan rakan strategik dapat mempromosikan produk yang tawarkan demi kebaikan masa depan masyarakat,"katanya.
Selain itu, Norliza berkata, PTPTN turut memperkenalkan kemudahan penstrukturan semula pinjaman bagi membantu peminjam membuat bayaran balik mengikut kemampuan kewangan masing-masing menerusi inisiatif #PTPTNBolehBincang.
Jelasnya, masyarakat perlu membudayakan tabiat menabung dari awal usia serta melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman demi kelestarian dana pendidikan negara.
"Melalui inisiatif ini, peminjam dapat melakukan penstrukturan semula pinjaman iaitu dengan berjumpa pihak PTPTN dan berbincang untuk pelan pembayaran mengikut kemampuan kewangan peminjam agar mereka boleh menyelesaikan hutang mereka yang tertunggak.
“Selain itu, untuk memperkukuh kesedaran bayaran balik pinjaman, PTPTN dengan kerjasama RTM turut menghasilkan lagu khas berjudul Demi Generasi Ku sebagai pendekatan kreatif untuk meningkatkan pemahaman dan semangat bertanggungjawab dalam melaksanakan bayaran balik pinjaman pendidikan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
