Tiga lelaki larikan tabung masjid guna MPV mewah diberkas

Gambar kiri, kenderaan mewah yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri tabung masjid. Gambar kanan, sebuah motosikal dipercayai milik salah seorang suspek turut dirampas.
Gambar kiri, kenderaan mewah yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri tabung masjid. Gambar kanan, sebuah motosikal dipercayai milik salah seorang suspek turut dirampas.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri tabung masjid menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah selepas tiga lelaki ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an diberkas bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis menerima panggilan memaklumkan kehilangan tabung masjid di Sungai Lalang kira-kira jam 6 pagi, Rabu lalu.

“Siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tabung masjid dilarikan suspek menggunakan MPV mewah berwarna hitam,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menjejaki suspek pada jam 2.30 petang hari sama di sebuah motel yang disyaki dijadikan lokasi berkumpul selepas melakukan kegiatan curi.

“Kita juga merampas MPV dan sebuah motosikal milik salah seorang suspek yang mana kenderaan mewah terbabit disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri,” katanya.

Menurut Hanyan, berpandukan maklumat suspek, polis telah dibawa ke satu lokasi semak berhampiran lorong belakang kawasan perumahan tidak jauh dari motel berkenaan, di mana tabung masjid dibuang.

Katanya, barang kes telah ditemui dan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1,200.

“Kita percaya mereka telah aktif sejak tiga bulan lalu dan disyaki terlibat dalam tiga kes pecah tabung masjid sekitar daerah Kuala Muda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua lelaki direman bagi membantu siasatan dan saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!