Adab asas sistem pendidikan tangani kes buli

Statistik terkini menunjukkan lonjakan kes buli yang amat membimbangkan. (Gambar kecil: Dr Ir Muhidin)
Statistik terkini menunjukkan lonjakan kes buli yang amat membimbangkan. (Gambar kecil: Dr Ir Muhidin)
A
A
A

Di sebalik kejayaan akademik dan pembangunan infrastruktur pendidikan negara, satu isu lama yang tidak pernah surut kembali menghantui institusi pembelajaran kita di sekolah dan universiti iaitu buli.

Dulu, kita menganggapnya sebagai lumrah pelajar baharu, atau sebahagian daripada budaya asrama dan senioriti. Namun, dalam dekad mutakhir, gejala buli telah berubah wajah, menjadi lebih ganas, lebih kejam dan kini menular ke alam digital.

Tidak kira sama ada di sekolah rendah, menengah mahupun universiti, budaya buli kini menampakkan taringnya seperti memusnahkan harga diri, kesihatan mental dan keselamatan ribuan anak muda. Persoalannya: mengapa kita masih belum berjaya menanganinya?

Statistik terkini menunjukkan lonjakan kes buli yang amat membimbangkan. Menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 6,528 kes buli direkodkan pada tahun 2023, meningkat daripada 3,883 kes pada 2022.

Lebih merisaukan, sebanyak 6,208 kes telah dicatatkan setakat 31 Oktober 2024, trend yang tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan. Di universiti awam pula, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendedahkan bahawa 28 kes buli telah dilaporkan di 20 buah institusi sejak 2010, suatu angka yang mungkin kelihatan kecil, tetapi dipercayai jauh lebih rendah daripada kes sebenar akibat ketakutan pelajar untuk melapor.

Lebih mendalam lagi, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) dalam Survei Kesihatan Remaja 2022 melaporkan bahawa 8.6 peratus murid telah dibuli dalam tempoh 30 hari sebelum kajian dilakukan, dengan bentuk buli paling lazim ialah ejekan terhadap rupa fizikal (26.7%).

Dalam arena digital pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 3,199 aduan buli siber pada tahun 2023, dan angka ini melonjak kepada 8,399 aduan hanya dalam tempoh Januari hingga 1 November 2024, bersamaan purata 27 aduan sehari.

Jelaslah, buli bukan sekadar ‘perkara kecil dalam hidup pelajar’. Ia sudah menjadi satu krisis nasional yang menggugat bukan sahaja keselamatan pelajar, malah kredibiliti sistem pendidikan kita.

Mengapa buli berterusan dan di mana silapnya? Pertama, terdapat budaya normalisasi buli yang telah lama berakar, tanggapan bahawa pelajar junior mesti diajar oleh senior, atau bahawa bergurau kasar dan mengejek itu adalah biasa.

Artikel Berkaitan:

Kedua, walaupun sistem pendidikan kita sangat menekankan prestasi akademik, nilai-nilai seperti empati, hormat dan adab masih belum disepadukan secara menyeluruh dan eksplisit dalam kurikulum.

Ketiga, ketidakseragaman penguatkuasaan dasar, termasuk SOP aduan, siasatan, dan pemulihan yang menyebabkan kes-kes buli ditangani secara ‘ad hoc’ dan tidak menyeluruh.

Di alam maya pula, budaya ketagihan perhatian menjadikan buli siber semakin mudah tersebar. Apa yang dahulunya berakhir di padang sekolah kini boleh menjangkau ribuan penonton di media sosial dalam beberapa saat dengan impak psikologi yang berkali ganda.

Akhirnya, masalah ini diburukkan oleh kekurangan kemahiran pengurusan emosi dalam kalangan remaja dan warga pendidik, serta mekanisme aduan yang tidak mesra mangsa, yang sering menimbulkan rasa takut untuk bersuara.

Di sebalik semua ini terletak akar-akar sistemik yang telah lama tidak diendahkan. Kita tidak memiliki kurikulum khusus yang mengajarkan adab dan empati secara tersusun dan praktikal.

Model tingkah laku yang ditunjukkan oleh orang dewasa sama ada guru, ibu bapa mahupun pemimpin, kadangkala sendiri mengandungi elemen membuli, memalukan dan mengejek. Tambahan pula, anak-anak kita terdedah kepada budaya digital yang toksik sejak kecil, tanpa bimbingan atau literasi digital yang mencukupi.

Namun begitu, kita pernah memiliki asas kukuh. Pengalaman penulis sendiri mengikuti pendidikan di Sekolah Rendah Agama Johor bermula tahun 1969 menjadi bukti yang tidak boleh dinafikan.

Pada ketika itu, antara subjek teras yang diajar kepada murid Tahun Satu ialah mata pelajaran ‘Adab’. Ia bukan sekadar teori, tetapi diterapkan dalam amalan harian seperti cara bercakap, berjalan, menghormati guru, menjaga pergaulan dan menghargai sesama insan.

Hingga ke hari ini, nilai-nilai itu masih terpahat di sanubari. Inilah bukti bahawa pendidikan adab yang sistematik dan konsisten mampu membentuk karakter manusia seumur hidup.

Pada tahun 2022, Sinar Harian pernah mengeluarkan kenyataan 38 kes buli disekolah dalam tempoh 4 bulan pertama, yang memaparkan negeri Johor adalah yang terendah hanya dua kes.

Sayangnya, subjek ini perlahan-lahan terpinggir dalam arus pemodenan kurikulum, dan kita kini menanggung akibatnya.

Di samping itu, pengalaman penulis sebagai seorang pelajar yang pernah melalui tahun pertama di asrama sekolah juga memberi perspektif berbeza terhadap isu 'ragging'.

Seperti kebanyakan pelajar, penulis turut mengalami situasi yang dianggap sebahagian daripada tradisi asrama seperti dipaksa untuk gunting rambut pendek, berenang di air setitik, lari keliling padang, kutip sampah di sekitar asrama dan pelbagai lagi aktiviti yang berbentuk fizikal.

Namun, penting untuk menekankan bahawa pengalaman penulis ini tidak melibatkan unsur kekerasan atau mencederakan anggota tubuh dan emosi.

Sebaliknya, aktiviti tersebut lebih bertujuan untuk memperkukuhkan mental dan fizikal para pelajar baharu. Ia adalah sebahagian daripada proses pembentukan ketahanan diri, bukan untuk merendahkan martabat atau menyakiti sesiapa.

Ia adalah bentuk latihan yang lebih menyasarkan kepada pembinaan semangat berpasukan, ketahanan mental, dan menghormati hierarki. Penulis percaya, dengan pendekatan yang betul dan tujuan yang jelas, ragging sebegini tidak perlu dilihat sebagai buli, tetapi sebagai satu bentuk latihan yang membentuk karakter dan perpaduan.

Untuk membendung masalah buli, kita perlu meletakkan adab sebagai asas sistem pendidikan, bukan sekadar pelengkap. Usaha membanteras buli mesti melangkaui hukuman seperti ia perlu mencipta ekosistem pendidikan yang adil, empatik dan selamat.

Cadangan kepada KPM

Modul adab dan empati nasional, Kementerian perlu memperkenalkan modul khas ‘Adab & Empati’ yang diajar secara amali di semua sekolah dan universiti bukan hanya sebagai mata pelajaran, tetapi sebagai sebahagian daripada budaya harian. Pelajar perlu didedahkan kepada simulasi, lakonan peranan dan projek komuniti yang memupuk empati dan tanggungjawab sosial.

Sekolah dan IPT sebagai zon selamat, Institusi pendidikan harus menjadi tempat yang selamat secara fizikal dan emosi. Ini termasuk menguatkuasakan protokol keselamatan psikologi seperti larangan memalukan secara terbuka, penggunaan bahasa menghina, dan normalisasi ejek-mengejek. Pendekatan ‘restoratif’ perlu diamalkan bukan hanya menggantung pelaku, tetapi juga memulihkan mangsa dan membimbing pelaku ke arah perubahan tingkah laku yang sihat.

Saluran aduan mesra mangsa, Saluran aduan perlu pelbagai dan mudah seperti kod QR, aplikasi, peti aduan, rakan sebaya amanah. Lebih penting, aduan perlu dijawab dalam masa 72 jam dan disusuli intervensi yang jelas dan penuh belas. Larangan balas dendam mesti dikuatkuasakan, dan pemindahan pelaku atau mangsa perlu difikirkan demi keselamatan semua.

Literasi digital dan etika siber, Kurikulum baharu perlu diwujudkan untuk mendidik anak-anak kita menjadi pengguna digital yang beretika. Kempen kesedaran seperti 'Think, Check, Empathize before Share' boleh dijalankan bersama telco dan platform media sosial. Kerjasama dengan MCMC juga perlu untuk mempercepatkan proses content takedown bagi kes buli siber.

Intervensi psikososial dan saringan awal , Sekolah dan universiti perlu menyediakan saringan kesihatan mental berkala dan rangkaian rujukan profesional kepada kaunselor, psikologis dan NGO. Latihan berkala juga perlu diberikan kepada guru, warden dan pensyarah untuk menangani kes buli dan krisis emosi secara berhemah.

Ketelusan dan tadbir urus, Sebuah dashboard data kebangsaan harus diwujudkan bagi merekod dan memantau kes buli secara terbuka (tanpa maklumat peribadi), dengan pemantauan audit pematuhan kepada garis panduan seperti SPI KPM Bil.12/2023 dan garis panduan IPT. Data ini penting untuk menilai keberkesanan dasar dan menunjukkan kesungguhan sistem.

Buli bukan sekadar tindakan kasar, ia adalah cerminan kegagalan kita menanam adab sebelum mencurahkan ilmu. Sekolah dan universiti bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi tempat membentuk manusia yang tahu menghormati, memahami, dan melindungi satu sama lain.

Jika kita benar-benar mahu membina generasi yang cemerlang, maka kita mesti berani memulakan reformasi bermula dengan nilai yang paling asas adab.

Sudah tiba masanya untuk kita berhenti berkata ‘buli adalah lumrah’, dan mula menyatakan dengan tegas: Adab dulu, barulah ilmu dan kemahiran’.

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah seorang tokoh akademik dan pakar TVET

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!