Amaran Asyraf Wajdi: Tindakan tegas, keras jika sembunyi kes buli di institusi pendidikan Mara

Asyraf Wajdi.
Asyraf Wajdi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak pengurusan Institusi Pendidikan Mara (IPMa) diberi amaran akan dikenakan tindakan tegas dan keras jika dikesan menyembunyikan kes buli.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana menyembunyikan kes buli adalah satu kesalahan jenayah.

"Jika ada pihak pengurusan mana-mana IPMA yang berbuat demikian kononnya hendak menjaga nama baik dan reputasi, tindakan tegas serta keras pasti akan diambil," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah Asyraf Wajdi, ketika baru dilantik sebagai Pengerusi Mara, banyak aduan serta maklum balas diterima daripada ibu bapa dan pelajar mengenai kecenderungan IPMA tidak mahu menghebahkan kes berkaitan buli.

Beliau berkata, ia didakwa untuk menjaga reputasi dan imej IPMA selain pihak pengurusan takut terjejas menerima anugerah kecemerlangan.

"Saya telah memberi isyarat dan pengarahan yang jelas bahawa jika saya sendiri peroleh maklumat ini, pasti akan saya ambil tindakan tegas terhadap pihak pengurusan IPMA, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Bahkan, saya sudah menegaskan berkali-kali kepada pelajar bahawa saya tiada kompromi bab buli, walaupun nampak saya banyak bertimbang rasa dalam perkara lain termasuk mengambil berat hal kebajikan guru, pelajar dan staf," katanya.

Beliau menegaskan prinsip #YouTouchYouGo tidak kira siapa dan usah merayu kepadanya apabila tindakan diambil jika terbabit buli.

Asyraf Wajdi sekali gus percaya bahawa usaha memutuskan rantaian buli yang semacam dijadikan tradisi di sesetengah tempat, hanya boleh dilakukan dengan berkesan jika tindakan tegas diambil dan mendapat dukungan serius semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Benar buli bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi juga mental. Di sebuah MRSM ada pelajar perempuan yang diberhentikan kerana terlibat dengan buli mental. Jangan takut untuk laporkan kepada saya.

"Jangan risau jika kononnya diboikot atau diapa-apakan hanya kerana laporan kepada pengerusi. Saya tidak akan sesekali membela pembuli," katanya.

Tambahnya, pembuli tiada tempat di hati beliau termasuk mana-mana institusi Mara hatta mereka itu datang daripada latar belakang keluarga besar.

"Jika mereka anak orang politik atau orang berpengaruh. Saya Setiausaha Agong UMNO tidak sesekali gentar dan peduli sesiapa," tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!