Kastam Kelantan rampas rokok seludup bernilai RM2.25 juta di Tumpat

Wan Jamal Abdul Salam bersama para pegawai menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas pada sidang akhbar di Wisma Kastam Padang Bongor hari ini. Foto Bernama
Wan Jamal Abdul Salam bersama para pegawai menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas pada sidang akhbar di Wisma Kastam Padang Bongor hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Kelantan merampas sebanyak 2.8 juta batang rokok putih bernilai RM2.25 juta termasuk cukai, dalam satu serbuan di Tumpat pada 5 Ogos.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pada 11.30 pagi itu, dijalankan Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu di sebuah rumah tanpa penghuni di Kampung Bendang Kerian, hasil maklumat awam dan intipan selama dua minggu.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan, rumah berkenaan berkunci dan pasukan operasi terpaksa memecahkan pintu sebelum menemukan 288 kotak rokok dipercayai barang larangan.

"Nilai rampasan rokok dianggarkan RM316,800, manakala jumlah cukai yang terlibat RM1.93 juta menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM2.25 juta.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan rumah sewa sebagai stor penyimpanan rokok seludup dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata rokok jenama baharu itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram sebelum diedarkan kepada pelanggan bagi pasaran luar Kelantan. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!