KPM digesa wujudkan platform aduan buli kebangsaan

Mohd Rawi
Mohd Rawi
A
A
A

IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mewujudkan sebuah platform aduan buli peringkat kebangsaan sebagai langkah proaktif bagi mengatasi isu berkenaan di sekolah.

Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, setiap aduan buli yang dilaporkan mesti diberi jaminan tindakan segera serta penyelesaian sewajarnya diambil.

Katanya, mekanisme sedia ada masih lemah kerana ramai mangsa tidak berani tampil bersuara manakala pihak sekolah pula sering memilih untuk menyembunyikan kes bagi menjaga imej.

“Buli bukan sekadar gurauan antara pelajar. Ia mampu membawa kesan jangka panjang yang serius, malah boleh mendorong mangsa mengalami rasa rendah diri, kemurungan dan kecenderungan membunuh diri.

“Jika masyarakat memandang ringan isu ini, akibatnya amat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Rawi berkata, insiden membabitkan keganasan fizikal, penghinaan lisan, pengasingan sosial serta rakaman dan penyebaran imej tidak senonoh memberi kesan psikologi mendalam kepada mangsa hingga menjejaskan pembelajaran serta perkembangan mereka.

Selain mencadangkan platform khas, beliau berkata, pihak sekolah juga perlu memperkukuh peraturan dan budaya sekolah dengan menekankan nilai murni, empati dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.

Katanya, peranan guru dan ibu bapa juga amat penting, di mana guru mesti peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar, manakala ibu bapa pula perlu berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak agar mereka berani meluahkan masalah yang dihadapi.

Tambahnya, isu buli di sekolah tidak mungkin dapat diselesaikan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya menuntut kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa serta badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

“Buli adalah barah dalam pendidikan sekolah. Hanya dengan keberanian seluruh masyarakat untuk bersuara dan berdepan dengan realiti, masalah ini boleh dibanteras.

“Kerajaan wajar memperuntukkan lebih banyak sumber, menambah bilangan kaunselor profesional serta memberi latihan khusus kepada guru,” jelasnya.

Mohd Rawi menegaskan golongan muda adalah tonggak masa depan negara, justeru sebarang penyebaran gejala buli akan memberi risiko besar terhadap pembangunan masyarakat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!