KKM bongkar rawatan pergigian, estetik tanpa lesen dan 2 wanita ditahan

KUALA LUMPUR – Berselindung di sebalik deretan lot kedai di Sri Petaling, sebuah pusat kecantikan yang menawarkan khidmat rawatan gigi dan perubatan estetik haram sejak tahun 2024 akhirnya terbongkar pada Rabu.
Serbuan kira-kira jam 10.40 pagi hasil aduan awam itu dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa Bahagian Kesihatan Pergigian dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama Balai Polis Sri Petaling.
Sinar Harian yang mengikuti operasi tersebut mendapati kawasan luar premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Selain itu, terdapat tiga bilik khas dipercayai digunakan pelanggan untuk mendapatkan rawatan gigi serta sebuah bilik lain bagi khidmat perubatan estetik berkaitan kecantikan seperti pemutihan kulit dan suntikan botox.


Setiap bilik menempatkan katil selain pelbagai alatan mesin, ubat-ubatan, peralatan suntikan dan lain-lain.
Ketika serbuan dijalankan, terdapat dua pelanggan sedang mendapatkan rawatan pergigian.
Pegawai Penguat Kuasa Pergigian Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Vivegan Doraisamy berkata, dua wanita termasuk seorang warga Indonesia berusia 27 dan 37 tahun telah ditahan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu menawarkan perkhidmatan pergigian dan perubatan estetik yang hanya boleh dijalankan di Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial Instagram, merangkumi khidmat sarung gigi (veneer) yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.
“Selain itu, pusat kecantikan itu turut menawarkan rawatan perubatan estetik seperti filler, suntikan botox dan rawatan estetik lain yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia serta ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging (LCP) of Aesthetic Medical Practice oleh KKM,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, harga rawatan ditawarkan antara RM4,000 hingga RM12,000 bergantung pada jenis pakej yang diambil pelanggan.
Katanya, kedua-dua wanita itu akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah klinik pergigian dan klinik perubatan swasta tanpa perakuan pendaftaran yang sah.

“Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] kerana disyaki menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia,” ujarnya.
Tegas beliau, KKM menasihatkan orang awam agar mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan atau pergigian yang sah serta mempunyai kelayakan yang bersesuaian.
“Ini bagi menjamin keselamatan serta kualiti perkhidmatan rawatan yang terbaik selain mencegah sebarang komplikasi yang tidak diingini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
