Empat lot kedai separuh kekal musnah terbakar

Empat unit kedai separuh kekal berhampiran SMK Desa Rahmat, Jalan Belumut, Taman Johor di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Sabtu. - Foto: BBP Larkin.
Empat unit kedai separuh kekal berhampiran SMK Desa Rahmat, Jalan Belumut, Taman Johor di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Sabtu. - Foto: BBP Larkin.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Empat kedai separuh kekal berhampiran SMK Desa Rahmat, Jalan Belumut, Taman Johor di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Sabtu.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I (Khas Untuk Penyandang – KUP), Nordatul Badrol Abd Rahman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit pada jam 6.41 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan tersebut, tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama 23 anggota dikejarkan ke lokasi sejauh enam kilometer.

“Setibanya anggota bomba di lokasi pada jam 6.48 pagi, didapati kebakaran melibatkan empat unit bangunan kedai separuh kekal bersaiz 20 x 70 x 13 kaki setiap unit yang menjalankan operasi bengkel kenderaan, kimpalan besi dan papan tanda manakala satu unit lagi lot kedai kosong.

“Turut terbakar beberapa kenderaan dalam bengkel, iaitu 13 kereta pelbagai jenis dan jenama serta tiga buah motosikal jenis Yamaha.

“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 200 kaki dengan lima pancutan menggunakan sumber air tangki pam jentera dan pili bomba berdekatan sehingga selesai,” katanya.

Sebagai makluman, lot kedai nombor satu yang merupakan bengkel kenderaan musnah 80 peratus, lot nombor dua (70 peratus), lot nombor tiga (kedai kimpalan dan papan tanda, 80 peratus) manakala lot nombor empat (kosong) hanya mengalami kerosakan lima peratus.

Kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa dan operasi ditamatkan pada jam 11.20 pagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!