Kematian, kebuluran buatan manusia

GAZA – Tentera Israel memperhebatkan serangan ke atas Bandar City dalam operasi terbaharu bagi menawan pusat penduduk utama di Genting Gaza, memaksa puluhan ribu rakyat Palestin yang kelaparan untuk melarikan diri sekali lagi.
Kawasan kejiranan Zeitoun, Sabra, Remal dan Tuffah menjadi sasaran utama serangan Israel sejak beberapa hari lalu.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, rancangan Israel memaksa rakyat Palestin berpindah ke selatan hanya akan menambah penderitaan.
Ribuan keluarga terpaksa meninggalkan Zeitoun selepas serangan berterusan memusnahkan kawasan itu.
Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh pada Ahad apabila peluru berpandu Israel mengenai Hospital Arab al-Ahli di Bandar Gaza.
Tentera Israel turut mengumumkan akan menyediakan khemah dan peralatan untuk mendirikan tempat perlindungan kepada penduduk yang telah berulang kali dipindahkan sepanjang 22 bulan perang.
Serangan artileri dan udara memaksa ramai meninggalkan rumah mereka, kata wartawan Al Jazeera dari Deir el-Balah, Hind Khoudary.

Minggu lalu, Israel mengumumkan rancangan untuk membawa tenteranya mara lebih jauh ke dalam Bandar Gaza dan memindahkan penduduknya ke selatan, mencetuskan kecaman antarabangsa.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas jenayah perang, mendakwa penduduk awam akan dipindahkan ke “zon selamat”.
Namun, kawasan yang digelar zon selamat itu juga telah berulang kali dibom.
Hampir 90 peratus daripada 2.4 juta penduduk Palestin di Gaza kini masih hilang tempat tinggal.
Sekurang-kurangnya tujuh lagi rakyat Palestin meninggal akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban kebuluran perang meningkat kepada 258 termasuk 110 kanak-kanak.
Pada Ahad, Israel turut membunuh sekurang-kurangnya 57 rakyat Palestin, termasuk 38 yang sedang mencari bantuan.
Hamas menyifatkan rancangan Israel mendirikan khemah di selatan sebagai helah untuk menghalalkan pengusiran besar-besaran.
Kumpulan itu menyatakan tindakan tersebut adalah gelombang genosid baharu serta penipuan bagi menutup jenayah yang sedang dirancang.
Keadaan muram menyelubungi Gaza selepas perintah pengusiran paksa terbaharu diumumkan Israel.
Wartawan Al Jazeera, Maram Humaid menulis di X bahawa rakyat Gaza kini dilanda ketakutan, rasa tidak berdaya dan kesedihan.
Penduduk yang dipaksa lari kini terdesak mencari sisa makanan di sebalik serangan berterusan tentera Israel.
PBB melaporkan satu daripada lima kanak-kanak di Gaza mengalami masalah kekurangan zat makanan.
Ramai hanya bergantung kepada dapur amal yang mengedarkan makanan dalam jumlah kecil sekali sehari.
Agensi Bantuan Pelarian Palestin PBB (UNRWA) memberi amaran Gaza kini berdepan “kebuluran buatan manusia” dan menggesa kembali kepada sistem pengagihan diketuai PBB.
Program Makanan Sedunia (WFP) pula melaporkan hanya 47 peratus daripada sasaran bantuan makanan dapat dipenuhi, manakala setengah juta orang kini berada di ambang kebuluran.
Pejabat Media Kerajaan Gaza menegaskan Israel secara sengaja menahan barangan asas termasuk susu bayi, makanan tambahan, daging, ikan, produk tenusu dan buah-buahan sejuk beku.
Ia mendakwa tindakan itu adalah dasar sistematik untuk “menggugut melalui kelaparan” lebih 2.4 juta rakyat Palestin termasuk 1.2 juta kanak-kanak.
Pengarah Rangkaian NGO Palestin di Gaza City, Amjad Shawa berkata pekerja bantuan kini hampir lumpuh akibat kekurangan sumber.
Beliau memberi amaran sistem kemanusiaan sedang runtuh apabila Israel terus menyerang fasiliti bantuan dan menyekat bekalan penting. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
