Serangan Israel pada Sabtu ragut 33 nyawa rakyat Palestin di Gaza

BANDARAYA GAZA - Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin maut manakala puluhan lagi cedera dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik sumber kesihatan.
Israel menyasarkan kediaman dan infrastruktur dalam serangan berterusan di wilayah pantai itu.
Antara yang terbunuh dan cedera termasuk di kawasan Batn al-Samin di Khan Younis dan di Jabalia.
Serangan lain turut mengorbankan 10 nyawa di kem pelarian Bureij, lapan di kejiranan Sheikh Radwan, lima di Beit Lahia dan seorang di Kizan al-Najjar.
Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus memungkiri perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada 19 Jan lepas.
Lebih 52,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terkorban dalam serangan ganas Israel sejak Oktober 2023. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
