Urus poket sendiri dengan berhemah

DATA dikongsikan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menyaksikan ekonomi Malaysia merekodkan perkembangan sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025, mengekalkan momentum sama seperti suku pertama tahun ini.
Prestasi positif ini lahir daripada permintaan dalam negeri yang kukuh dan mampan terutamanya dalam segmen perbelanjaan isi rumah dan pelaburan yang dilihat terus rancak.
Di atas kertas, angka tersebut cukup meyakinkan, malah boleh dikatakan prestasi negara lebih baik berbanding beberapa negara serantau lain terutama dalam situasi geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global. Namun di sebalik pencapaian tersebut, realiti di lapangan masih membelenggu rakyat.
Harga barang asas dilihat tinggi, kos sara hidup terus menekan dan ramai mengeluh gaji yang diterima tidak sepadan dengan perbelanjaan harian.
BNM menjelaskan, sokongan kepada ekonomi datang daripada pasaran pekerjaan yang positif termasuk semakan gaji minimum serta kenaikan gaji penjawat awam.
Kadar pengangguran kekal rendah, sekitar 3.3 peratus, sekali gus menunjukkan peluang pekerjaan masih terbuka luas.
Selain itu, pelaburan swasta dan awam semakin rancak dengan projek infrastruktur serta digitalisasi yang menolak momentum ekonomi ke hadapan.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan pula kekal menjadi pemacu utama terutama dalam bidang teknologi, elektronik serta pelancongan.
Kehadiran pelabur asing dalam sektor semikonduktor jelas memberi suntikan keyakinan terhadap daya saing Malaysia.
Umumnya, pertumbuhan ekonomi 4.4 peratus mungkin memberi gambaran optimistik kepada pelabur tetapi pada masa sama rakyat masih mencari jalan untuk berjimat.
Inilah cabaran utama dasar ekonomi negara, bagaimana untuk memastikan pertumbuhan makro diterjemahkan kepada kesejahteraan mikro.
Pertumbuhan yang gah di atas kertas tidak bermakna jika dompet rakyat masih ‘bocor’ setiap hujung bulan. Sebagai contoh, semakan gaji minimum kepada RM1,700 walaupun positif tetap dianggap tidak mencukupi berbanding kos kehidupan di bandar besar.
Ditambah pula dengan sewa rumah, pinjaman kenderaan dan komitmen lain, ramai anak muda merasakan pendapatan mereka masih tidak mencukupi.
Bijak pandai ekonomi berpendapat, kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada isu inflasi teras khususnya harga makanan, perumahan dan perkhidmatan kesihatan.
Tanpa kawalan berkesan, pertumbuhan ekonomi hanya akan tercatat dalam statistik tetapi tidak mampu mengubah kualiti hidup rakyat.
Bagaimanapun, beban tidak harus dipikul oleh kerajaan semata-mata, rakyat juga boleh proaktif dalam memperbaiki situasi kehidupan masing-masing.
Antaranya, kita boleh belajar mengurus belanjawan isi rumah dengan lebih berdisiplin, catat setiap perbelanjaan, asingkan bajet bulanan untuk keperluan asas, simpanan dan kecemasan.
Berikutnya, kurangkan perbelanjaan seperti makan di luar atau langganan yang tidak digunakan. Pada masa sama, berusaha mencari alternatif bagi menambah sumber pendapatan sampingan.
Manfaatkan kemahiran sedia ada seperti menjahit, memasak atau reka grafik untuk kerja sambilan. Boleh juga menyertai platform e-dagang, e-hailing atau bekerja bebas bagi menambah aliran tunai.
Tingkatkan kemahiran dan pendidikan diri dengan mengambil kursus jangka pendek (dalam talian atau percuma) dalam bidang seperti digital, teknikal atau bahasa yang boleh meningkatkan nilai pasaran kerja.
Paling utama, amalkan gaya hidup sederhana, gunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan jika praktikal. Kurangkan liabiliti dan elakkan hutang tidak perlu seperti kad kredit untuk gaya hidup.
Ringkasnya, perkembangan ekonomi sebanyak 4.4 peratus ini adalah pencapaian yang wajar diraikan dan petanda baik negara sedang berada di landasan betul.
Namun jangan sampai kita alpa, yang penting kini adalah memastikan setiap rakyat mampu menikmati hasilnya bukan sekadar membaca dalam laporan ekonomi.
*Liza Mokhtar ialah Wartawan Meja Bisnes Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
