Kerajaan masih tunggu keputusan tarif import cip semikonduktor ke AS - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Malaysia masih menunggu keputusan rasmi berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilaporkan mahu mengenakan sehingga 300 peratus tarif ke atas import cip semikonduktor ke negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini belum ada sebarang makluman rasmi diterima daripada Washington mengenai perkara berkenaan.

“Buat masa ini belum ada lagi apa-apa keputusan daripada Amerika Syarikat, jadi kita tunggulah. Kita kena tunggu kenyataan rasmi Presiden Trump sendiri,” katanya dengan ringkas kepada media.

Tengku Zafrul sebelum itu melancarkan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre- Johor (IMFC-J) di Forest City di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengarah Eksekutif MB World Group Berhad, Datuk Rohman Ahmad dan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Ling Ting Han.

Sebelum itu, pada 15 Ogos lalu, Trump mengumumkan kemungkinan pengenalan cukai ke atas import semikonduktor sehingga 300 peratus sebagai sebahagian daripada strategi “America First” dan usaha untuk memperkukuh industri pembuatan cip dalam negara .

Bagaimanapun tindakan itu dijangka akan menjejaskan industri global.

Menurut laporan daripada syarikat perkhidmatan kewangan, AS mengimport kebanyakan semikonduktor dari Taiwan, Malaysia, Israel, Korea Selatan dan Ireland.

Setakat tahun lalu, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke AS mencecah RM119.86 bilion, menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport E&E negara.

Artikel Berkaitan:

Eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion, mewakili kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport semikonduktor Malaysia.

Industri tersebut menggaji lebih 72,000 pekerja mahir dan disokong oleh lebih 7,200 pembekal tempatan, kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana.

Dianggarkan 65 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS adalah daripada syarikat Amerika yang beroperasi di Malaysia.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh suku kedua 2025 akan diumumkan pada Jumaat.

Jelasnya, setakat ini prestasi pelaburan Johor menunjukkan perkembangan positif bagi tempoh suku kedua tahun ini.

“Di Johor, pelabur dapat dilihat ekosistem yang lengkap untuk membangunkan syarikat mereka. Pelabur mencari lokasi dengan ekosistem menyeluruh, dan Johor telah membina asas itu.

"Pembangunan ekosistem menyeluruh merangkumi kemudahan infrastruktur, tenaga kerja mahir serta sokongan kerajaan negeri menjadikan Johor kekal sebagai destinasi utama pilihan pelabur asing dan tempatan," katanya.

Pada Jun lalu, Johor dilaporkan mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!