Golongan muda mudah terpengaruh maklumat tidak tepat di media sosial

SHAH ALAM – Persepsi golongan muda terhadap isu negara kini semakin mudah dipengaruhi maklumat tidak tepat di media sosial hingga mendorong mereka bertindak secara emosional dan bukan secara rasional.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hisyam Mohd Yusoff berkata, fenomena itu dapat dilihat apabila wujud tindakan protes tidak matang seperti memasang bendera Malaysia secara terbalik serta penyebaran spekulasi kes kematian adik Zara Qairina sebelum siasatan rasmi selesai dijalankan.
"Apabila maklumat disampaikan secara tidak berstruktur atau tidak bertanggungjawab, ia membentuk persepsi salah terhadap dasar dan usaha negara.
"Akibatnya, masyarakat mula menolak semua tindakan kerajaan seolah-olah tiada manfaat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menegaskan, kelemahan pengurusan komunikasi ketika berdepan krisis turut menjadi punca utama penyebaran berita palsu sehingga menjejaskan kepercayaan rakyat.
"Lihat sahaja krisis air di Selangor pada 2022 atau kelewatan menjawab isu vaksin Covid-19.
"Kekurangan penjelasan yang pantas dan telus hanya menambah kekeliruan serta membiakkan teori konspirasi," katanya.
Menurut Hisyam, sikap sebahagian masyarakat yang hanya membaca tajuk berita tanpa memahami isi kandungan juga menyumbang kepada penurunan tahap rasionaliti.
"Contohnya tajuk seperti 'Kerajaan gagal urus ekonomi' sering dikongsi tanpa membaca laporan penuh yang menjelaskan konteks sebenar.
"Perkara ini mengakibatkan persepsi negatif akhirnya terbentuk secara tidak adil," katanya.
Mengulas peranan SPRM, beliau berkata pihaknya menerusi Bahagian Komunikasi Strategik dan Bahagian Pendidikan Masyarakat giat melaksanakan pelbagai inisiatif mendidik masyarakat terutama golongan muda melalui pendekatan lebih dekat dengan mereka.
"Antaranya program Komuniti Integriti dan Antirasuah Rakyat (KIAR), Wira AntiRasuah (WAR) serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) seperti chatbot interaktif dan video pendek di TikTok.
"Pendekatan ini berjaya menarik minat pelajar dan belia memahami isu integriti dengan cara lebih santai," katanya.
Tambahnya, SPRM turut merancang mendapatkan pensijilan ISO dalam Pengurusan Krisis Komunikasi sebagai usaha memperkukuh strategi komunikasi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang menyasarkan Malaysia mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

