Pengisian rohani terbaik sambut kemerdekaan

KUANTAN – Penganjuran Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dilihat sebagai pengisian rohani yang cukup baik dan tepat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak berkata, pemilihan tema ‘Merdeka Dengan Rasa’ juga bertepatan dengan suasana semasa negara yang bakal dihangatkan dengan pelbagai program dan aktiviti sebagai pengisian sambutan nanti.
Menurutnya, semangat ‘Merdeka Dengan Rasa’ yang diangkat kempen ini bukan sahaja menghidupkan nilai murni dalam masyarakat, malah mampu menjadi pemangkin perpaduan rakyat yang kukuh selaras dengan erti kemerdekaan sebenar.
“Berpandukan surah-surah dipilih seperti Surah al-Saff, Surah al-Balad dan Surah Ali' Imran membuktikan bahawa al-Quran mencakupi semua aspek kehidupan termasuk dalam konteks kenegaraan serta kemerdekaan.
“Ini kerana kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga merdeka dari segi hati dan jiwa.
“Justeru Malaysia #QuranHour platform terbaik untuk kita kembali kepada panduan al-Quran khususnya melalui tiga surah utama yang dipilih untuk mengajar kita tentang disiplin, kesedaran dan perjuangan berlandaskan ALLAH,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Md Abdu berkata, walaupun lokasi utama penganjuran Malaysia #QuranHour tahun ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur, seperti biasa program ini juga turut disambut serentak di peringkat negeri termasuk di Pahang.
Beliau berkata, Rumah Ngaji itu kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menjayakan Malaysia #QuranHour di negeri ini.
“Insya-ALLAH, perkembangannya akan dikemas kini dan diumumkan kepada orang ramai yang akan bersama-sama mengambil bahagian nanti.
“Pihak Sekretariat Rumah Ngaji Pahang mengajak rakyat Pahang daripada semua peringkat umur untuk menyertai bacaan dan tadabbur al-Quran secara serentak pada tarikh tersebut,” katanya.
Tambah beliau, agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah serta premis Rumah Ngaji di seluruh negeri disaran supaya mempromosikan Malaysia #QuranHour di premis masing-masing.
“Sebaik-baiknya ‘buka pintu’ kepada orang ramai terutama masyarakat setempat untuk datang dan bersama-sama menyertainya.
“Kita mahu mesej kemerdekaan yang dibawa melalui Malaysia #QuranHour ini sampai kepada semua, termasuk komuniti luar bandar,” katanya.
Ujar beliau lagi, promosi secara meluas akan membantu menarik penyertaan sekali gus menjadikan Malaysia #QuranHour sebagai agenda rohani menjelang sambutan merdeka di seluruh negara termasuk di Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

