Bina negara aman, harmoni berpandukan al-Quran

Program Malaysia #QuranHour di Terengganu melibatkan lokasi perdana di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus dijangka menghimpunkan sekitar 500 peserta.
Program Malaysia #QuranHour di Terengganu melibatkan lokasi perdana di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus dijangka menghimpunkan sekitar 500 peserta.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Program Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung di seluruh negara pada 30 Ogos ini mengajak masyarakat seluruh negara memahami intipati kemerdekaan dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan membina sebuah negara yang aman dan harmoni.

Pengurus Rumah Ngaji Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, program pada tahun ini memberi tumpuan kepada interaksi bersama surah al-Saff yang menjadi surah utama di peringkat kebangsaan.

"Program ini menghimpunkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan bukan Islam untuk sama-sama berinteraksi dengan al-Quran, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan sejagat.

"Lebih penting, ia membawa misi melahirkan Muslim sejati melalui amalan baca, faham dan amal al-Quran sebagai 'keystone habits' dalam kehidupan seharian," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan di Terengganu melibatkan lokasi perdana di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus dijangka menghimpunkan sekitar 500 peserta.

Menurut Wan Nur Aziemah, UniSZA dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana kedudukannya yang strategik serta mempunyai kemudahan lengkap untuk menampung kehadiran peserta.

"Pusat Islam UniSZA juga menunjukkan komitmen tinggi menjayakan program ini selepas dua tahun berturut-turut menjadi tuan rumah.

"UniSZA sendiri ikon universiti Islamik di Terengganu, ditambah pula berhampiran dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG),"ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya berharap alunan bacaan serta tadabbur yang dikongsikan sepanjang program itu dapat menyentuh hati peserta sekali gus membina jiwa merdeka yang sejati.

Artikel Berkaitan:

"Setiap tahun konsepnya dikekalkan, namun pengisian tadabbur yang disampaikan diharap mampu memberi mesej segar untuk renungan bersama.

"Jika pihak UniSZA terus membuka ruang kerjasama, kami yakin program ini dapat diteruskan lagi di sini pada masa akan datang," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!