Impian GIGih GXBank bantu realisasikan impian bakal graduan

PETALING JAYA - Laluan pengajian yang beralih daripada aliran sains kepada sastera tidak mematahkan impian anak seorang pemandu Grab, Mithranaath Ravi, 20, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan yang diminatinya sejak kecil.
Kini, penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu adalah salah seorang penerima Impian Gigih Biasiswa GXBank bagi membantu perjalanan pengajiannya.
Mithranaath yang berasal dari Johor Bahru mengambil aliran sastera ketika mengikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selepas tidak mendapat tempat dalam program matrikulasi.
“Saya memang minat kejuruteraan sejak kecil. Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak dapat masuk matrikulasi dan akhirnya mengambil STPM dalam aliran sastera,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Anugerah Impian Gigih Biasiswa di Ibu Pejabat GXBank baru-baru ini.
Anak bongsu daripada lima beradik itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 dalam STPM, sebelum mendapat peluang menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya.
“Saya sudah mempunyai akaun GXBank dan mengetahui mengenai biasiswa ini melalui notifikasi sebelum membuat permohonan. Saya turut memohon biasiswa lain yang dikongsikan di Telegram, tetapi tidak berjaya,” katanya yang memaklumkan ayahnya merupakan pemandu Grab dan ibunya suri rumah.
Menurutnya, bantuan tersebut merangkumi yuran pengajian, elaun bulanan RM1,000 serta bantuan awal RM3,000 untuk persediaan memasuki universiti, selain bimbingan mentor dan pembangunan kepimpinan.

Sementara itu, seorang lagi penerima, yang merupakan penuntut Sarjana Muda Sains dalam Sains Aktuari di Universiti Kebangsaan Malaysia, Maryam Hamim, 19, menyifatkan biasiswa tersebut sebagai bantuan bermakna buat keluarganya selepas bapanya terpaksa berhenti kerja akibat penyakit parkinson.
“Saya mengetahui tawaran ini melalui kumpulan Telegram yang berkongsi maklumat biasiswa, kemudian mencuba untuk memohon,” katanya yang bercita-cita menjadi aktuari dan turut berminat dalam bidang pengurusan risiko.
Beliau yang berasal dari Ulu Tiram, Johor bersyukur kerana dengan adanya biasiswa itu, ia membantu dan meringankan beban keluarganya. Bagi Ooi Yu Han, 19, pula, kejayaan memperoleh biasiswa itu memberi dorongan baharu selepas berdepan kekecewaan apabila permohonannya mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM) tidak berjaya.
“Cita-cita asal saya ialah menjadi peguam. Saya sedih apabila permohonan pengajian undang-undang ditolak, tetapi saya menerima peluang dalam bidang ekonomi dan bersyukur dapat meneruskan pengajian,” katanya.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, pelajar semester pertama Sarjana Muda Ekonomi di UM itu berkata, bapanya kini tidak bekerja, manakala ibunya bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
Yu Han berkata, keinginannya mendapatkan biasiswa tercetus ketika mengikuti pengajian asasi apabila melihat rakan-rakan berusaha membiayai pendidikan tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluarga, sebelum dia sendiri membuat permohonan biasiswa pertamanya menerusi maklumat di sebuah laman web.
“Biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga dorongan, peluang dan tanggung jawab. Saya mahu menggunakan peluang ini untuk masa depan sendiri serta memberi kesan positif kepada keluarga dan masyarakat,” jelasnya.
Ketiga-tiga pelajar itu merupakan antara 10 penerima Impian Gigih Biasiswa GXBank tahun ini yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang, termasuk undangundang, sains aktuari, sains komputer dan kejuruteraan elektronik.
Penganjuran kali ini merupakan tahun ketiga pemberian biasiswa tersebut sejak dimulakan pada 2024, yang setakat ini telah melahirkan seramai 28 graduan.
Impian Gigih Biasiswa bantu lahirkan bakat berkualiti
GXBank telah menerima kira-kira 3,000 permohonan untuk Impian Gigih Biasiswa sejak diperkenalkan pada 2024 bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian dan membangunkan bakat untuk keperluan industri.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi GXBank, Hildah Hamzah berkata, program yang memasuki tahun ketiga itu memberi penekanan kepada kemampuan penerima menamatkan pengajian dalam bidang diminati serta mempunyai hala tuju kerjaya yang jelas.
Menurutnya, penerima tidak dipaksa mengikuti sesuatu bidang semata-mata untuk memenuhi syarat mendapatkan biasiswa berkenaan.
“Perkara paling utama ialah penerima biasiswa berkemampuan untuk menamatkan pengajian. Tiada gunanya kita memaksa mereka mengambil bidang yang tidak diminati hanya kerana mahu mendapatkan biasiswa.
“Kita beri kebebasan, tetapi mereka perlu mempunyai visi dan tahu apa yang mahu dilakukan selepas tamat pengajian,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan.
Hildah berkata, bantuan diberikan turut merangkumi bimbingan mentor serta pembangunan kemahiran bagi mempersiapkan penerima menghadapi alam pekerjaan.

Tambahnya, GXBank turut meneliti keperluan industri dan negara dalam menentukan bidang pengajian yang diberikan perhatian menerusi program berkenaan.
Menurutnya, selain kemahiran keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), bidang seperti hubungan antarabangsa, ekonomi serta kemanusiaan juga mempunyai kepentingan dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.
Mengulas keistimewaan biasiswa itu, Hildah berkata, penerima tidak terikat dengan kewajipan berkhidmat bersama GXBank selepas menamatkan pengajian, namun masih perlu memenuhi komitmen akademik yang ditetapkan.
“Selepas tamat pengajian mereka bebas memilih hala tuju sendiri, tetapi sepanjang menerima biasiswa, mereka perlu menunaikan tanggungjawab terhadap pengajian,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya turut memberikan khidmat kaunseling dan bimbingan kepada penerima yang berdepan kemerosotan prestasi, termasuk kesukaran menyesuaikan diri dengan fasa peralihan serta kehidupan baharu di universiti.
GXBank memilih lapan hingga 10 penerima setiap tahun setakat ini dan berhasrat meneruskan program tersebut dalam jangka panjang.
“Harapan kita ialah GXBank dikenali sebagai satu institusi yang menyokong dan melahirkan bakat terbaik dalam perbankan dan bidang digital. Kita mahu status sebagai penerima biasiswa GXBank menjadi nilai tambah yang membantu mereka melangkah lebih jauh dalam kerjaya,” ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

