Tourism Selangor rekod 2.9 juta pelancong kunjungi Selangor setakat Mac

BANTING - Sasaran lapan juta pelancong ke Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) diyakini mampu dicapai apabila kedatangan 2.9 juta pelancong direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengurus Pembangunan Industri, Pemegang Taruh dan Hal Ehwal Kerajaan Tourism Selangor, Mohd Haffez Hanip berkata, angka itu diperoleh hasil sambutan menggalakkan terhadap pelbagai acara yang dianjurkan Tourism Selangor.
“Sehingga Mac lalu, kira-kira 2.9 juta pelancong telah melawat Selangor. Dengan pelbagai acara yang dirancang sepanjang TMS2025, saya yakin sasaran lapan juta pelancong akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing GP Joran Terbuka Selangor di Pantai Kelanang di sini pada Ahad.

Pertandingan itu menarik penyertaan hampir 800 pemancing dari seluruh negara termasuk dari Pahang, Terengganu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kuala Langat, YM Tengku Rohana Tengku Nawawi.
Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Zon 18, Mat Irwan Mat Ismail dan Pengerusi Pertubuhan Penggerak Aktiviti Pantai Kelanang (Penggerak), Ahmad Roslan Kiran.
Dalam pertandingan itu, Norhanis Amat dari Sepang dinobatkan sebagai juara selepas menaikkan ikan semilang seberat 0.790 kilogram (kg) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Naib juara disandang Md Nazari Mohd Atar dengan tangkapan semilang seberat 0.725kg dan menerima RM3,000, manakala Mohd Rafi Ahmad dari Muar, Johor dengan tangkapan seberat 0.685kg membawa pulang RM1,000 untuk tempat ketiga.
Mengulas lanjut, Mohd Haffez berkata, pertandingan memancing berimpak tinggi seperti itu mampu menjadi tarikan pelancong dan akan dijadikan acara tahunan Tourism Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
