Perjalanan pulang lima beradik berakhir tragedi, seorang maut, dua parah

JEMPOL – Perjalanan pulang lima beradik bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Besar Palong 16, di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 2.46 petang itu menyebabkan pemandu kenderaan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, maut di lokasi kejadian, manakala dua adiknya berusia 16 dan 11 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustafar berkata, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Kancil dan lori jenis Isuzu.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah Palong 16 menuju ke Palong 9, 10 dan 11.
“Kereta Perodua Kancil pula dipandu mangsa berusia 18 tahun bersama empat penumpang yang merupakan adik-beradiknya dari arah bertentangan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Palong 16,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan akibat hujan lebat lalu berpusing dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta dinaiki lima beradik berkenaan cuba mengelak ke kiri jalan, namun tidak sempat lalu melanggar bahagian sisi tengah sebelah kiri lori.
“Pemandu Perodua Kancil mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua penumpang berusia 16 dan 11 tahun cedera parah, manakala dua lagi berusia 14 dan tiga tahun serta pemandu lori hanya cedera ringan,” katanya.
Norhisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Beliau turut meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

