Suami isteri ditahan disyaki dera anak asuhan

SHAH ALAM – Polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan kejadian dibuat oleh ibu mangsa pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, siasatan mendapati kanak-kanak tersebut dihantar ke rumah pengasuh di sebuah pangsapuri di Seksyen 16, Shah Alam kira-kira jam 10 pagi Khamis.
“Namun pada jam 9.30 malam, kanak-kanak itu dihantar semula oleh pengasuh dalam keadaan terdapat kesan lebam di muka.
“Pada awalnya, pengasuh mendakwa kesan lebam tersebut berpunca daripada pergaduhan antara anaknya dengan mangsa, namun ibu kanak-kanak itu tidak mempercayainya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam dan pegawai perubatan mengesahkan kecederaan yang dialami sebagai Alleged Assaulted Sustained Soft Tissue Injury di bahagian muka.
Susulan laporan tersebut, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menahan pengasuh berusia 37 tahun bersama suaminya berusia 40 tahun pada jam 11.22 malam Ahad.
"Pasangan itu telah direman selama tiga hari sehingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ujian air kencing pasangan terbabit didapati negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau,” ujar Mohd Iqbal.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
