Perak rekod 705 kes dera kanak-kanak tahun lalu

SALBIAH
SALBIAH
A
A
A

IPOH – Perak merekodkan sejumlah 705 kes penderaan kanak-kanak pada tahun 2024, dengan 306 kes melibatkan lelaki dan 399 kes perempuan.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, statistik terkini sehingga 28 Februari 2025 pula menunjukkan 142 kes telah dilaporkan, berbanding 111 kes untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak sentiasa memandang serius dan memberikan keutamaan kepada semua kes penderaan kanak-kanak yang diadukan.

"Setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah mempunyai Pegawai Pelindung Kanak-kanak yang dilantik di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, yang bertanggungjawab untuk mengendalikan kes-kes penderaan.

"Sepanjang tahun 2024, JKM telah melaksanakan sebanyak 30 Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di seluruh negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Salbiah berkata, dalam menangani isu penderaan kanak-kanak, pendekatan sinergi dan merentas jabatan mahupun portfolio perlu digarap bersama.

Menurutnya, Program Bengkel Interaktif turut dilaksanakan oleh pegawai psikologi dan kaunseling di seluruh Perak kepada kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga mereka.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, program tersebut sebagai langkah pencegahan yang bertujuan memperbaiki kefungsian keluarga.

Jelasnya, melalui intervensi tersebut, keluarga akan mempelajari kaedah mengenal pasti permasalahan, menyelesaikan masalah serta menggunakan pendidikan menguruskan sistem kekeluargaan mereka.


Pelancong antarabangsa ke Perak meningkat

IPOH – Sektor pelancongan negeri Perak terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah pelancong antarabangsa ke negeri ini mencatat peningkatan ketara sepanjang tahun 2024.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, berdasarkan laporan Survei Hotel Guest 2024 oleh Tourism Malaysia, sebanyak 970,611 pelancong antarabangsa direkodkan melawat Perak tahun lalu berbanding 867,665 pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 11.9 peratus atau 102,946 orang.

Menurutnya, peningkatan itu dilihat sebagai bukti keberkesanan pelaksanaan strategi promosi sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 yang digerakkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Perak.

"Usaha TMP 2024 ini bukan sahaja bertujuan menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara, malah berperanan penting dalam memberi kesan pengganda kepada ekonomi tempatan.

"Pendapatan yang dijana melalui perbelanjaan pelancong turut memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat, khususnya para pengusaha inap desa, peniaga kecil, pengusaha produk tempatan serta pemain industri pelancongan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Sze Yee berkata, sepanjang kempen tersebut, sebanyak 122 acara dan aktiviti pelancongan telah dilaksanakan merangkumi pelbagai segmen seperti seni dan budaya, sukan pelancongan, eko pelancongan, gastronomi, warisan serta aktiviti berbentuk komuniti.

Tambahnya, kehadiran pelancong juga memberi impak ekonomi yang besar kepada negeri melalui perbelanjaan yang meliputi penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, pembelian cenderahati serta bayaran masuk ke lokasi pelancongan.

“Pulangan ekonomi daripada perbelanjaan ini dapat diukur secara langsung dan memberi impak signifikan kepada kitaran ekonomi negeri. Sebagai contoh, secara purata seorang pelancong antarabangsa membelanjakan sekitar RM190 sehari, termasuk penginapan, pengangkutan, makan minum dan aktiviti pelancongan asas.

"Berdasarkan kehadiran 970,611 pelancong antarabangsa sepanjang tahun 2024, jumlah perbelanjaan kasar dianggarkan mencecah RM184.4 juta. Jumlah ini dijangka meningkat apabila data perbelanjaan pelancong domestik turut diambil kira," katanya.

Sementara itu, Sze Yee berkata, pelbagai lokasi baharu turut diberi nafas baharu dengan peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan, antaranya Laman Tanjung Belanja di Parit, Laman Anjung Pelita di Kampung Gajah, Lata Tebing Tinggi di Selama serta kawasan perkelahan Sungai Dipang di Sungai Gapes.

Katanya, projek-projek menaik taraf itu merupakan antara inisiatif untuk memperkenalkan lokasi baharu yang menonjolkan keunikan alam semula jadi dan warisan budaya Perak kepada pelancong pada masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!