Penghuni kuarters guru merana 10 hari tanpa air

KLANG – Kira-kira 20 penghuni di Blok I Kuarters Institusi Pendidikan Kampung Jawa di sini mendakwa terpaksa menanggung kesusahan berikutan masalah ketiadaan bekalan air di bilik air kediaman mereka sejak 10 hari lalu.
Seorang penghuni, Sharif Mohd Nor, 58, berkata, bekalan air di blok berkenaan tidak naik ke tangki rumah masing-masing sehingga menyebabkan tandas tidak dapat digunakan seperti sediakala.
“Sepanjang tempoh itu, kami terpaksa mengangkut air atau menggunakan getah paip setiap hari dari singki dapur ke tandas rumah.
“Namun ada juga penduduk yang terpaksa mandi di surau berhampiran kerana air hanya keluar sedikit di singki dapur akibat tekanan rendah,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Menurut Sharif, masalah yang membelenggu penduduk itu telah dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sejak hari pertama kejadian pada 8 Ogos lalu.
“Kami juga membuat laporan kali kedua pada Isnin minggu lalu, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.
“Kami bayar potongan elaun kuarters setiap bulan, jadi sepatutnya penyelenggaraan dibuat dengan baik,” katanya.
Seorang lagi penghuni, Rafid Lokman, 40, berkata, masalah bekalan air bukan perkara baharu di kuarters itu, namun kali ini dianggap paling teruk kerana berlarutan hampir dua minggu.
“Walaupun ada air di dapur, tekanannya sangat perlahan dan kadangkala tiada langsung pada waktu siang.
“Saya terpaksa menadah air pada waktu tengah hari ketika tekanan lebih kuat untuk kegunaan malam hingga keesokan hari,” ujarnya.
Menurut Rafid, dia yang tinggal bersama isteri serta dua anak yang masih bersekolah sememangnya berdepan kesukaran setiap hari.
“Air tidak naik ke tingkat atas, jadi kami terpaksa sediakan tong dan paip tambahan sendiri untuk kegunaan mandi dan keperluan lain,” katanya.
Rafid turut berharap pihak berkuasa terutama PPD Klang dan JPN Selangor mengambil serius masalah itu kerana ia membabitkan keperluan asas penduduk.
“Air adalah keperluan asas, jadi kami harap tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada JPN yang difahamkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

