Terengganu tuntut 10 projek mega dalam RMK-13

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengemukakan cadangan 10 projek mega yang dianggap sebagai keperluan mendesak untuk dipertimbangkan dan diluluskan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) .
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan merangkumi aspek keselamatan rakyat, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur strategik.
Menurutnya, antara projek yang perlu dipertimbangkan melibatkan pengawalan hakisan Pantai Rusila, Marang (RM144.85 juta); Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM247.97 juta); pembinaan jalan baharu KT-Bypass ke FT14, Kuala Terengganu (RM231.12 juta); dan RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM147.66 juta).
Selain itu, jelas beliau, tambahan projek yang perlu diberi perhatian melibatkan Blok Tambahan Hospital Besut (RM500 juta); penggantian Paip Air Submarin ke Pulau Redang (RM150 juta); naik taraf FT03 di Setiu (RM231.84 juta); Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Mak Chili, Kemaman (RM29.90 juta); pembinaan Jambatan Baharu Pulau Kekabu, Marang (RM6.90 juta); serta naik taraf Stadium Hoki, Kuala Terengganu (RM7.90 juta).
“Projek berkenaan penting bagi menangani isu hakisan pantai kritikal, banjir kilat, kekurangan kemudahan kesihatan, masalah bekalan air, jalan raya berisiko serta infrastruktur sukan yang daif.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal hak rakyat. Terengganu bukan anak tiri dalam Persekutuan Malaysia, jadi hak kita mesti dihormati,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, Terengganu merupakan penyumbang utama hasil negara menerusi industri minyak dan gas, namun banyak projek yang dimohon berdepan kelulusan lambat, syarat tambahan ketat, malah terdapat skop yang dikecilkan.
“Saya menyokong penuh ucapan perbahasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen baru-baru ini yang turut menekankan perkara sama.
“Diskriminasi pembangunan perlu dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan semangat Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Kita menyumbang hasil, maka sewajarnya kita juga menikmati pembangunan setimpal dengan negeri lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
