Nahas Menora ibarat jerat trafik

SETIAP kali berlaku kemalangan di Terowong Menora terutamanya membabitkan kenderaan berat seperti lori dan treler, senarionya hampir sama.
Trafik terhenti berjam-jam, kesesakan mengular sehingga mencecah 10 kilometer dan ribuan pemandu terperangkap dalam situasi penuh tekanan.
Insiden terbaharu pada Jumaat dan Sabtu lalu menjadi bukti jelas bagaimana satu nahas di laluan berbukit itu mampu melumpuhkan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan, khususnya di jajaran Ipoh-Kuala Kangsar.
Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena di Kilometer 256.8 arah utara pada Jumaat berlaku antara laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar mengakibatkan semua lorong terhalang.
Nahas sekitar jam 12.30 tengah hari itu memaksa trafik dilencongkan keluar di Plaza Tol Ipoh (S) selain pusingan U di terowong diaktifkan mengakibatkan kesesakan teruk di kedua-dua arah.
Tak sampai tempoh 24 jam, satu lagi nahas membabitkan treler berlaku di Kilometer 253.3 arah sama menyebabkan trafik sesak sepanjang 8 kilometer.
Kedua-dua kejadian melibatkan kenderaan berat yang hilang kawalan ketika menuruni cerun, sekali gus mengundang bencana kepada pengguna lain.
Bagi pengguna setia lebuh raya ini, nama Terowong Menora bukan sekadar mercu tanda ikonik tetapi turut sinonim dengan risiko kemalangan dan kelewatan perjalanan.
Keadaan laluan yang berliku, turunan curam dan selekoh tajam, menjadikan ia ujian bukan sahaja kepada kemahiran pemandu malah kecekapan penguatkuasaan.
Kemalangan berulang di lokasi sama menimbulkan persoalan, mengapa masalah ini tidak pernah selesai walaupun ia telah menjadi pengetahuan umum?
Pemerhatian terhadap insiden-insiden lalu menunjukkan beberapa faktor utama sering menjadi punca.
Ia termasuklah kegagalan mengawal kelajuan ketika menuruni cerun, penyelenggaraan kenderaan berat yang lemah sehingga menimbulkan masalah brek haus dan tayar botak, keletihan pemandu akibat perjalanan jarak jauh serta kemungkinan beban muatan berlebihan.
Dalam hal ini, tidak boleh dinafikan struktur jalan itu sendiri memberi cabaran tersendiri. Sekali pemandu terlepas kawalan, ruang untuk memulihkan keadaan sangat terhad.
Perjalanan yang sepatutnya lancar menjadi mimpi buruk, terperangkap di tengah lebuh raya berjam-jam, terdedah kepada cuaca panas, kehabisan bahan bakar atau bekalan makanan, malah ada yang terpaksa menukar jadual penting termasuk urusan kerja dan kecemasan keluarga.
Perlu pendekatan bersepadu
Walaupun pihak berkuasa lebuh raya dan polis trafik bertindak pantas alihkan kenderaan serta mengawal aliran trafik, ia hanya penyelesaian jangka pendek. Penyelesaian sebenar memerlukan pendekatan bersepadu dan langkah luar biasa.
Cadangan yang pernah dibangkitkan termasuk pemeriksaan brek dan sistem kenderaan berat di plaza tol sebelum memasuki kawasan berbukit, penguatkuasaan had laju dengan kamera automatik, larangan sementara kepada treler di waktu puncak dan pembinaan lorong kecemasan tambahan di cerun.
Negara maju seperti Jepun, Jerman, Australia, Korea Selatan dan United Kingdom membuktikan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat boleh dikurangkan secara drastik melalui sistem kawalan teknologi canggih dan disiplin pemandu.
Jepun misalnya, mewajibkan semua kenderaan berat dilengkapi kamera, sensor keletihan, sistem brek automatik (AEB) dan pengehad kelajuan. Jerman pula terkenal dengan undang-undang tanpa kompromi, denda tinggi, penggantungan lesen serta tindakan terhadap majikan yang melanggar had waktu kerja pemandu.
Di Australia, penggunaan kotak hitam pada bas dan lori membolehkan setiap pergerakan direkod seperti dalam kapal terbang, sekali gus memudahkan siasatan nahas.
Korea Selatan mengaplikasikan Sistem ITS (Intelligent Transport System) yang memantau lebuh raya dengan kamera pintar serta memberi amaran awal mengenai kelajuan, cuaca atau halangan.
Di United Kingdom, latihan CPC (Certificate of Professional Competence) memastikan pemandu menjalani kursus semula setiap lima tahun, manakala aplikasi aduan rasmi membolehkan penumpang terus melaporkan pemanduan berbahaya.
Selagi kemalangan berulang tidak ditangani dengan pelan jangka panjang yang tegas, Menora akan kekal sebagai ‘jerat trafik’ dan ‘mimpi buruk’ yang menghantui pemandu setiap kali mereka melalui laluan ini, apatah lagi ketika memandu di belakang sebuah lori atau treler yang menuruni bukit dengan laju.
* Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

