'Gelombang hitam' di Beaufort nyata solidariti Zara Qairina

BEAUFORT – Himpunan solidariti bagi mengenang Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir terus bergema apabila ribuan penduduk membanjiri Himpunan Solidariti Aman Beaufort yang diadakan di sini, pada malam Sabtu.
Himpunan itu menjadi simbolik kepada ‘gelombang hitam’ apabila ribuan peserta hadir mengenakan pakaian serba hitam sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan menuntut keadilan buat adik Zara Qairina.
Acara anjuran Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah itu turut menyaksikan lebih 1,000 tandatangan dikumpulkan sebagai sokongan kepada memorandum solidariti yang menuntut agar perbuatan buli dihentikan serta-merta.
Pengerusi penganjur yang juga Pengerusi Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah, Mohammad Norizhuan Awang berkata, himpunan tersebut membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap isu buli kini semakin meningkat.

“Alhamdulillah, Himpunan Solidariti Aman Beaufort telah berlangsung dengan jayanya dan dihadiri kira-kira 15,000 orang. Kehadiran ini membuktikan bahawa kita semua berkongsi niat dan matlamat yang sama, iaitu menuntut keadilan untuk arwah adik Zara Qairina.
“Selain itu, ia juga merupakan luahan empati kepada keluarga Allahyarhamah, khususnya ibunya, dan menegaskan komitmen kita untuk menoktahkan budaya buli bermula sekarang,” katanya ketika berucap pada himpunan yang diadakan di Bandar Mingo, di sini.
Mohammad Norizhuan turut meminta agar pihak berkuasa tidak menghampakan harapan penduduk daerah ini serta seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, kes Allahyarhamah Zara Qairina wajar dijadikan keutamaan tertinggi dan diselesaikan secara adil dan telus.
“Malam ini pelbagai pengisian telah dijalankan termasuk sesi pidato oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO), deklamasi sajak, serta ikrar solidariti yang saya sendiri ketuai selaku Pengerusi Penganjur,” katanya lagi.
Bagi memastikan himpunan tersebut memberi impak jangka panjang, pihak penganjur turut membentangkan serta membuka tandatangan sokongan untuk Memorandum Masyarakat Beaufort Sempena Solidariti Aman Beaufort #JusticeForZara dan #NoktahkanBuliSekarang.
Sementara itu, pada Jumaat lalu, daerah yang sama turut menyaksikan kempen kesedaran anti buli diselitkan menerusi aktiviti kesukanan perlawanan bola sepak persahabatan antara bekas pelajar Sekolah Menengah Saint Paul dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort II.
Perlawanan yang berlangsung pada jam 8 malam di Padang Pekan Beaufort itu menghimpunkan kira-kira 500 penonton termasuk alumni guru serta pelajar kedua-dua sekolah terbabit.
Dalam masa sama, sesi solidariti tandatangan turut diadakan sebagai tanda sokongan terhadap #JusticeForZara dan kempen kesedaran anti buli dalam komuniti.
Bekas pelajar dari kedua-dua pasukan turut menyatakan solidariti penuh terhadap keluarga dan rakan-rakan Allahyarhamah Zara Qairina, menyifatkan pemergian remaja itu sebagai satu kehilangan besar yang amat menyentuh hati rakyat Sabah.
Mereka menegaskan bahawa keadilan untuk adik Zara Qairina serta usaha memperkasa kempen kesedaran anti buli dalam masyarakat perlu diteruskan secara berterusan tanpa kompromi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
