Kejayaan Karnival UDA tarik perhatian KUSKOP

Ewon (lima dari kanan) menyaksikan penyampaian sumbangan program CSR UDA Cares kepada tiga masjid di sekitar Penampang, Sabah, selain sumbangan kepada 100 asnaf dan lima usahawan asnaf dengan jumlah dana keseluruhan RM50,000
Ewon (lima dari kanan) menyaksikan penyampaian sumbangan program CSR UDA Cares kepada tiga masjid di sekitar Penampang, Sabah, selain sumbangan kepada 100 asnaf dan lima usahawan asnaf dengan jumlah dana keseluruhan RM50,000
A
A
A

PENAMPANG - Komitmen UDA Holdings Berhad (UDA) terhadap pemerkasaan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diterjemahkan melalui penganjuran Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas yang berlangsung selama tiga hari di Buhavan Square, di sini.

Penganjuran karnival itu selari dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mewujudkan ekosistem kondusif dalam menyokong pertumbuhan sektor keusahawanan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick melihat bahawa sambutan menggalakkan daripada usahawan termasuk di Sabah yang menunjukkan minat untuk menceburi bidang keusahawan menerusi penyertaan dalam karnival tersebut.

Ewon (dua dari kanan) meluangkan masa melawat gerai di Karnival UDA bersama BizFrancias Pernas.
Ewon (dua dari kanan) meluangkan masa melawat gerai di Karnival UDA bersama BizFrancias Pernas.

"Karnival ini bukan hanya memberi ruang kepada usahawan-usahawan untuk mengambil bahagian dalam jualan tetapi paling penting pada saya adalah agensi-agensi KUSKOP dapat memberikan perkhidmatan kepada usahawan dan bakal usahawan terutama berkaitan dengan perkhidmatan agensi masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan karnival berkenaan pada Sabtu.

Beliau dalam pada itu berkata, kolaborasi strategik antara UDA dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mencerminkan sinergi yang baik antara agensi-agensi di bawah KUSKOP dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan yang tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama, sebaliknya dibawa terus ke peringkat akar umbi.

“Melalui platform seperti ini, orang ramai akan didedahkan kepada pendekatan menyeluruh merangkumi akses pasaran, jaringan strategik dan pemerkasaan jenama menerusi penglibatan KUSKOP serta agensi yang ada seiring dengan agenda melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, inovatif dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Johari Shukri Jamil berkata, kolaborasi yang dilaksanakan menerusi karnival ini adalah contoh terbaik inisiatif antara agensi di bawah KUSKOP, selaras dengan pendekatan Strategi Lautan Biru yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu menggabungkan sumber, kepakaran dan rangkaian bagi menghasilkan impak lebih besar untuk manfaat usahawan serta komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, UDA Holdings Berhad berperanan sebagai peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, berlandaskan empat teras utama iaitu pembangunan hartanah, pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

Ewon (lima dari kiri) menyampaikan sijil kepada usahawan yang terlibat dalam Karnival UDA Holdings Berhad bersama BizFrancias Pernas di Buhavan Square, Penampang.
Ewon (lima dari kiri) menyampaikan sijil kepada usahawan yang terlibat dalam Karnival UDA Holdings Berhad bersama BizFrancias Pernas di Buhavan Square, Penampang.

"Lebih daripada 53 tahun, UDA bukan sahaja membina rumah tetapi membina komuniti, menyediakan ruang niaga strategik dan peluang untuk rakyat membangunkan perniagaan mereka.

"Sejak tahun 2022, Karnival UDA telah menjadi salah satu platform utama bagi kami mendekati komuniti dan menyokong usahawan tempatan. Tahun ini, kolaborasi bersama Pernas melalui program BizFrancais menjadi bukti komitmen bersama memperkukuh rangkaian sokongan kepada usahawan,” katanya.

Johari berkata, program BizFrancais yang dianjurkan oleh Pernas sejak 2019 bertujuan mempromosikan industri francais serta memberi pendedahan terus kepada peluang francais di negara ini.

"Inisiatif ini menyediakan platform kepada usahawan francaisor dan pra-francais untuk mengembangkan jenama mereka, meningkatkan permohonan pembiayaan, serta membuka ruang latihan dan bimbingan francais yang dikendalikan Pernas.

"Melalui program pembangunan francais seperti BIT dan Xcelerator, usahawan tempatan berpotensi untuk mengembangkan jenama mereka secara lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.

Dalam karnival kali ini, lebih 70 usahawan mengambil bahagian, merangkumi usahawan BizFrancais Pernas, usahawan UDA, usahawan agensi KUSKOP, usahawan asnaf dan usahawan awam.

"Penyertaan ini membuktikan komitmen kolektif untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan yang inklusif dan lebih berdaya saing.

"Karnival ini turut mempromosikan inisiatif UDA seperti MARI (One Stop Retail Centre) dan KIRANA (Craft Corner), yang berfungsi sebagai hab strategik bagi mengumpulkan, memasarkan dan menjual produk makanan, kraf dan produk tempatan, sekali gus membantu PMKS luar bandar memperluas akses pasaran dan mencipta peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, sempena karnival tersebut, UDA turut mengetengahkan projek hartanah Pangsapuri Servis Neu Pendington Fasa 1 di Kuching, Sarawak, selain mempromosikan kempen 68th Merdeka Deals yang menawarkan ganjaran sehingga RM68,000 serta kempen Refer & Cash-ing dengan ganjaran tunai sehingga RM5,000.

"Semua ini bertujuan menggalakkan pemilikan hartanah dan menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik dan peluang pelaburan yang strategik,” katanya.

Menyentuh agenda Ekonomi Biru di Sabah yang dibentangkan dalam RMK13, Johari berkata walaupun UDA masih belum mempunyai operasi pembangunan secara langsung di negeri ini, namun pihaknya sentiasa terbuka untuk meneroka peluang bersesuaian.

"Sehubungan itu, saya berharap penganjuran karnival seperti ini dapat membuka ruang dan peluang untuk kami memahami aspirasi setempat dan pada masa sama menilai potensi kerjasama jangka panjang demi manfaat bersama," katanya.

Sebelum itu, karnival yang berlangsung sejak Jumaat itu menghimpunkan kira-kira 70 usahawan tempatan dari pelbagai sektor perniagaan bagi memperkenal dan memasarkan produk mereka.

Ia turut menyasarkan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM4.25 juta, merangkumi sasaran jualan BizFrancais Pernas sebanyak RM4 juta dan usahawan UDA RM250,000.

Program ini bukan sahaja membuka ruang pemasaran dan jaringan perniagaan, malah menjadi platform memperkenalkan jenama usahawan tempatan khususnya Bumiputera, sekali gus menggalakkan perkembangan ekonomi setempat serta menyokong pembangunan berterusan keusahawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!