JS-SEZ di Johor tarik perhatian dunia - PM

Anwar ketika berucap merasmikan Forum Nikkei di Iskandar Puteri.
Anwar ketika berucap merasmikan Forum Nikkei di Iskandar Puteri.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus mendapat perhatian pelabur antarabangsa termasuk dari Jepun, China, Korea Selatan dan negara-negara Eropah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif strategik itu menjadi tumpuan pemimpin dunia berikutan kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura yang menjamin manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

“Malah, ketika pertemuan saya dengan Perdana Menteri Jepun baru-baru ini, beliau turut membangkitkan soal JS-SEZ apabila bercakap tentang Malaysia, bukan hanya menyebut Putrajaya semata-mata.

“Bukan sahaja Jepun, JS-SEZ turut menarik minat pelabur dari China, Korea Selatan dan negara-negara Eropah. Ini kerana zon ekonomi ini melibatkan kerjasama baik antara dua negara yang mahu melihat kedua-duanya menerima manfaat,” katanya ketika berucap pada Forum Nikkei Medini Johor, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut Anwar, kejayaan inisiatif tersebut adalah hasil komitmen tinggi semua pihak terlibat termasuk agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Johor serta kerajaan Singapura.

“Kredit harus diberikan kepada agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri Johor dan juga kepada Singapura atas komitmen tinggi yang diberikan dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Untuk rekod, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura diwujudkan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan Johor dan Singapura menerusi kerjasama dua hala dalam sektor logistik, pelaburan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!