Keseimbangan antara keterbukaan, ketegasan demi kedaulatan negara

JAMINAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa keselamatan awam selepas beberapa insiden yang dilapor melibatkan warga asing di negara ini, memberi kelegaan kepada masyarakat.
Ketegasan beliau secara tidak langsung membentuk persepsi bahawa Malaysia tetap tegas dan berdaulat walaupun terbuka kepada dunia luar.
Melihat kepada kebimbangan orang ramai yang disuarakan di beberapa platform media sosial tentang keberadaan warga asing terutamanya daripada China, Saifuddin Nasution sebagai menteri dilihat efisyen dalam menenangkan keresahan rakyat sambil menegaskan, prinsip penguatkuasaan tanpa pilih kasih.
Di sebalik jaminan bahawa tiada diskriminasi dalam tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih penting adalah amaran mengenai penyalahguanaan visa termasuk kepada golongan ekspatriat elit yang tidak sesekali memberi imuniti daripada tindakan undang-undang.
Secara tidak langsung ia mencerminkan pendirian undang-undang Malaysia bersifat menyeluruh, merentasi status sosial dan latar belakang kewarganegaraan.
Saifuddin Nasution juga menegaskan tenaga kerja warga China di Malaysia berada dalam sektor yang sah dan bersifat strategik terutama dalam projek berimpak tinggi, sekali gus menolak naratif lambakan pekerja asing tidak terkawal sedang berlaku.
Penjelasan seperti itu penting kerana mampu menangkis persepsi bahawa Malaysia terlalu longgar dalam kawalan sempadan atau tunduk kepada pengaruh kuasa besar.
Keterbukaan Menteri Dalam Negeri dalam memulihkan keresahan orang ramai mengenai kebimbangan lambakan warga asing di negara ini harus dipuji kerana ia bukan sahaja mengawal naratif keselamatan, tetapi mahu memastikan masyarakat yakin Malaysia sebuah negara yang mesra pelabur.
Dalam masa sama Malaysia kekal berdaulat, tegas dan tidak mudah diganggu gugat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
