Bendera Johor dipasang terbalik, pekerja warga asing disiasat

Bendera Johor dipasang terbalik di bangunan sebuah hotel di Segamat. - Foto tular
Bendera Johor dipasang terbalik di bangunan sebuah hotel di Segamat. - Foto tular
A
A
A

SEGAMAT – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian bendera Johor dipasang secara terbalik di bangunan sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Kadir pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, laporan dibuat susulan satu hantaran di media sosial Facebook yang memaparkan keadaan bendera berkenaan dipasang di tingkat atas bangunan sebuah hotel.

“Hasil siasatan terhadap dua pekerja hotel mendapati bendera tersebut dipasang sempena sambutan Bulan Kebangsaan. Namun, ia dipasang secara terbalik secara tidak sengaja oleh seorang pekerja warga asing.

“Bendera itu telah diperbetulkan semula selepas ditegur rakan sekerja. Semakan lanjut mendapati pekerja berkenaan memiliki dokumen pasport dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahmad Zamry, kes kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya, polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!