Tujuh warga asing disekat masuk di Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR – Seramai tujuh warga asing dari Thailand, India, dan Laos telah dihalang daripada memasuki Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Isnin.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, kesemua individu termasuk dua wanita dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) oleh AKPS kerana disyaki bukan pelancong tulen dan gagal memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat.
"Mereka ialah empat lelaki warga Thailand, seorang lelaki dan seorang wanita warga India, serta seorang wanita warga Laos berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an.
"Siasatan mendapati sebahagian daripada mereka turut tersenarai dalam senarai syak Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.
Menurutnya, tindakan penolakan masuk itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua individu terbabit telah diarahkan untuk berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama sejurus selepas notis dikeluarkan.
"Proses tersebut dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
AKPS menegaskan komitmen untuk terus memperketat kawalan di semua pintu masuk negara.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba memasuki Malaysia secara tidak sah atau gagal mematuhi syarat yang ditetapkan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan sempadan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
