Tiada kompromi warga asing langgar undang-undang - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara kekal menjadi keutamaan tanpa sebarang kompromi, khususnya dalam menangani isu membabitkan warga asing di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, pihaknya memandang serius insiden melibatkan warga asing yang tular kebelakangan ini dan memberi jaminan setiap kes akan disiasat serta diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan profesional tanpa sebarang diskriminasi atau pengecualian terhadap mana-mana bangsa atau negara asal.

“Setiap laporan yang diterima akan disiasat mengikut lunas undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, status visa sama ada sebagai pelajar, pelabur, pemegang pas lawatan jangka panjang atau peserta program Malaysia My Second Home (MM2H) tidak memberikan imuniti daripada undang-undang Malaysia.

Malah, mana-mana individu yang didapati melanggar syarat pas, menimbulkan ancaman keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam akan dikenakan tindakan tegas.

“Langkah yang diambil termasuklah pembatalan pas, penyenaraian hitam serta penghantaran pulang ke negara asal dan prinsip ini dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu berkenaan.

“Malaysia mengiktiraf sumbangan tenaga kerja asing, termasuk warga China khususnya dalam kalangan ekspatriat profesional yang terlibat dalam projek strategik dan sektor berimpak tinggi.

“Namun, KDN memastikan kemasukan ini dilaksanakan secara terkawal, berasaskan keperluan sebenar negara serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan ketat yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberi jaminan Malaysia sentiasa terbuka kepada pelaburan, pendidikan dan kerjasama antarabangsa, namun ia tidak sesekali mengorbankan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara.

“Saya menyeru rakyat Malaysia kekal tenang dan yakin bahawa pihak berkuasa sedang dan akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan.

“Setiap ancaman akan ditangani dengan sewajarnya demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan sejahtera untuk semua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!