Nasib 6.9 juta pekerja swasta dibantu PERKESO

Saravanan. - Foto Sumber Internet
Saravanan. - Foto Sumber Internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia bersedia melindungi 6.9 juta pekerja swasta menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) jika berlaku kehilangan pekerjaan termasuk program penempatan pekerjaan dan latihan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pekerja yang kehilangan pekerjaan dan berdaftar serta mencarum di bawah SIP yang dilaksanakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak menerima faedah SIP.

Beliau berkata, mereka layak untuk diberikan Elaun Mencari Pekerjaan bermula pada 80 peratus gaji anggapan selama enam bulan dengan kadar menurun kepada 50 peratus, 40 peratus, 40 peratus, 30 peratus dan 30 peratus.

"SIP turut menyediakan Elaun Bekerja Semula Awal sebanyak 25 peratus bagi baki Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Pendapatan Berkurangan, Elaun Latihan pada kadar RM30 sehari.

"Kita turut menyediakan Fi Latihan yang terhad kepada RM6,000 dan penempatan pekerjaan serta kaunseling kerjaya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, PERKESO akan melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang menyediakan bantuan kewangan sementara sebanyak RM600 sebulan pada kadar rata untuk tempoh maksimum enam bulan kepada mana-mana pekerja dan majikan yang memenuhi syarat kelayakan.

"Syarat yang diperuntukkan ialah pekerja yang diberi notis cuti sementara tanpa gaji (unpaid leave) oleh majikan berkuatkuasa mulai 1 Mac 2020.

"Pekerja sektor swasta yang berdaftar dan mencarum dengan SIP Perkeso, terhad kepada pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

"Majikan membuat permohonan bagi pihak pekerja dan majikan hendaklah menyalurkan RM600 terus ke dalam akaun pekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO akan sentiasa membantu dan bersedia dengan semua perkhidmatan di bawah SIP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Tuntutan di bawah Faedah SIP ataupun bantuan ERP boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perkeso yang terdekat di seluruh negara ataupun melalui permohonan dalam talian di laman web Perkeso (www.perkeso.gov.my).

Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai tuntutan di bawah faedah SIP atau bantuan ERP, sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di talian 1-30022-8000 atau emel kepada perkeso@perkeso.gov.my atau boleh salurkan aduan/pertanyaan melalui facebook.com/perkeso.official.