Pengecualian cukai perkhidmatan sewa kapal, pesawat tidak dibuat senyap-senyap - MOF

SHAH ALAM - Pengecualian cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus bagi penyewaan kapal dan pesawat udara tidak dilakukan secara senyap-senyap.
Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, pemakluman rasmi telah dibuat melalui Dasar Cukai Perkhidmatan Bil. 2/2025 (Pindaan No. 1) yang dimuat naik di portal MySST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 24 Julai lalu.
Pengecualian tersebut, menurut MOF, diberikan bagi mengelakkan pendaftaran di luar negara serta mengekalkan daya saing industri tempatan.
“Pengenaan cukai boleh mendorong pemilik kapal atau pesawat tempatan untuk berdaftar di luar negara, sekali gus mengurangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia.
“Negara jiran tidak mengenakan cukai yang sama dan tanpa pengecualian, pelanggan mungkin beralih kepada perkapalan atau penerbangan luar negara,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Kementerian itu turut menjelaskan, pengecualian berkenaan khusus untuk industri penerbangan dan maritim yang mempunyai peranan penting dalam rantaian bekalan, pelancongan serta ekonomi negara.
Menurut MOF, ia tidak terpakai kepada sewaan kenderaan seperti kereta, bas atau premis perniagaan yang berbeza sifat penggunaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
