X

Kindly register in order to view this article
!

Masih ada yang keluar membeli namun terkawal

Peniaga sayur-sayuran yang boleh berniaga dan meneruskan perniagaan mereka di Pasar Siti Khadijah.
A
A

KOTA BHARU - Masih ada rakyat di negeri ini yang keluar membeli barangan keperluan dan makan di kedai pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Siti Khadijah mendapati segelintir individu mengunjungi pasar itu tetapi pengunjung berkurangan sehingga 90 peratus berbanding kebiasaannya.

Peniaga makanan juga dilihat menjalankan aktiviti perniagaan selain penjual barangan bukan keperluan asas.

Peniaga, Hassan Mahmud, 54, berkata, dia membuka gerai menjual sayuran seawal jam 7 pagi tadi menerima pelanggan namun tidak ramai dan hasil jualan kurang daripada RM10 setakat jam 2 petang tadi.

“Semalam ramai bersesak-sesak kerana pembelian panik tetapi hari ini jumlahnya sangat sedikit kerana masing-masing patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

“Saya sudah berniaga sejak 20 tahun tahun lalu dan keadaan seperti ini kali pertama tetapi saya akur kerana tindakan yang dilakukan kerajaan bertujuan menjaga keselamatan semua,” katanya ketika ditemui di pasar itu hari ini.

Keadaan di Perhentian Bas Kota Bharu lengang berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan.
Keadaan di Perhentian Bas Kota Bharu lengang berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan.

Seorang pengunjung, Fitrah Udin, 30, berkata, dia bersama tiga rakan yang tiba di Kelantan pada Isnin lalu sempat mengunjungi pasar berkenaan untuk membeli buah tangan sebelum pulang ke Temerloh hari ini.

“Kami datang untuk meraikan kawan yang mengadakan kenduri kahwin di Machang tetapi ditukar kepada majlis kecil-kecilan yang dihadiri teman rapat dan keluarga sahaja susulan peningkatan jumlah jangkitan wabak Covid-19.

“Kami juga lega apabila boleh pulang ke Temerloh hari ini tetapi mengambil langkah berjaga-jaga serta tidak mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya.

Seorang penduduk Mahizi Mahmood, 42, kecewa terhadap sikap masyarakat yang masih lagi boleh bersarapan beramai-ramai sambil berbual di sebuah kedai di daerah Jeli.

“Saya keluar bekerja pagi ini dan berhenti untuk membeli makanan di sebuah kedai namun terkejut melihat ramai yang sedang makan pagi ke kedai sambil berborak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Hassan (kanan) melayan pelanggan yang berkurangan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Hassan (kanan) melayan pelanggan yang berkurangan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Sepatutnya dalam keadaan begini rakyat perlu ada kesedaran yang tinggi dan patuhilah arahan pihak berkuasa supaya membataskan pergerakan dan bersosial di kedai-kedai makan demi mengekang wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdulllah Mohammad Piah berkata, perkembangan terkini keadaan rakyat Kelantan secara keseluruhannya berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

“Polis menasihatkan orang awam supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan untuk keselamatan mereka. Jangan berada di tempat tumpuan atau membawa anak kecil ke pasar raya.

“Bagi yang perlu bergerak antara negeri ke negeri juga dinasihatkan melakukan perjalanan secara berhemah dan yang benar-benar penting sahaja,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga mendapati masih ada segelintir peniaga bukan barangan keperluan asas dan makanan yang berdegil meneruskan jualan.

“Saya menasihati peniaga yang menjalankan perniagaan seperti emas, beg dan pinggang mangkuk supaya menutup kedai dan mematuhi arahan.

“Isu Covid-19 ini bukan perkara biasa, kerana setakat semalam Malaysia sudah merekodkan dua kematian di Sarawak dan Johor dengan 673 jumlah kes kini pada gelombang kedua penularan wabak di negara ini,” katanya.