117 kes baharu Covid-19 di Malaysia

Pekerja restoran makanan segera melakukan pembersihan rutin dengan mengelap skrin pesanan yang digunakan para pelanggan menggunakan cecair pembasmi kuman susulan penularan Covid-19 di negara ini. -Foto Bernama
Pekerja restoran makanan segera melakukan pembersihan rutin dengan mengelap skrin pesanan yang digunakan para pelanggan menggunakan cecair pembasmi kuman susulan penularan Covid-19 di negara ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 117 kes baharu Covid-19 dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 790 kes, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Berdasarkan siasatan awal, daripada 117 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

"Sehingga kini, seramai 15 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama Dr Adham berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia telah diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta Ijtimak Tabligh korban kedua Covid-19

Ujarnya, ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Sehubungan dengan itu juga, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah digubal dan diwartakan [P.U. (A) 91 bertarikh 18 Mac 2020].

Artikel Berkaitan:

"Peraturan ini menjelaskan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

"Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 ATAU dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 7 (1) di bawah Peraturan-Peraturan yang sama,"katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tiada pelawat dibenarkan masuk ke wad hospital sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan.

"Dalam tempoh ini juga, jika diperlukan, hanya seorang peneman sahaja dibenarkan semasa temujanji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan," katanya.