Peserta Ijtimak Tabligh korban kedua Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Menjangkau beberapa jam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula tengah malam ini, dua individu termasuk paderi dan peserta Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling menjadi korban koronavirus (Covid-19) di negara ini hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat dua kes kematian Covid-19 hari ini.

Menurutnya, kes kematian pertama melibatkan paderi di Kuching yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

"Mangsa yang merupakan kes ke-358 dilapor mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac lalu.

"Pesakit berkenaan mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disahkan meninggal hari ini," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini penularan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Dr Adham berkata, kes kedua kematian adalah kes 178 positif Covid-19 melibatkan peserta perhimpunan tabligh.

"Mangsa berusia 34 tahun dan tidak mempunyai sejarah penyakit kronik. Lelaki berkenaan mula mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor tujuh hari selepas mengalami gejala pada 5 Mac lalu.

"Keadaannya merosot dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah dan diberi bantuan pernafasan menerusi mesin ventilator. Dia disahkan meninggal dunia hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai perkembangan terkini penularan Covid-19, Dr Adham berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat 120 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan.

"Daripada jumlah itu, 12 sedang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, sebanyak 95 kes baharu berkaitan kluster perhimpunan tabligh.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah 673 kes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kes telah pulih dan dibenarkan pulang menjadikan kes pulih sebanyak 49 orang.