Buli ditakrif jenayah bawah pindaan Kanun Keseksaan - Fahmi

Fahmi ketika ditemui pemberita selepas MAPPA ke-20 "Perkhidmatan Awam Madani" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
Fahmi ketika ditemui pemberita selepas MAPPA ke-20 "Perkhidmatan Awam Madani" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi memastikan semua pihak memahami bahawa buli adalah satu jenayah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri menyampaikan pandangan tegas bahawa kerajaan tidak akan membenarkan sikap buli seperti ini (kes kematian Zara Qairina Mahathir) berlarutan.

“Jadi, antara perkara yang akan diusahakan dalam kalangan menteri adalah penyelarasan beberapa tindakan memandangkan pindaan kepada Seksyen 507B hingga 507G telah mula berkuat kuasa pada Julai lepas.

“Maka, kita ingin pastikan pelaksanaan bagi pindaan yang telah mentakrif dan mendefinisikan buli sebagai satu jenayah difahami oleh semua kementerian, terutama yang menguruskan institusi pendidikan termasuk asrama, dan beberapa tindakan susulan akan dilaksanakan,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025, anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini pada Jumaat.

Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli dengan lebih efektif dan menyeluruh, termasuk buli siber, telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan Dewan Negara pada 16 Disember 2024.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga telah menyampaikan pandangan mengenai sikap beberapa pihak dan tokoh yang dianggap tidak baik atau biadab, serta memaklumkan tindakan daripada pihak berkuasa akan diambil terhadap mereka yang berkenaan.

Tambah Fahmi, amanat Perdana Menteri dalam MAPPA XX menyentuh peranan penjawat awam dalam memastikan keamanan, ketenteraman dan kemajuan negara terus terpelihara.

Artikel Berkaitan:

“Perdana Menteri dalam ucapannya telah menyampaikan beberapa pesanan yang penting, antaranya mengenai bagaimana kemajuan yang telah kita nikmati, terutama mutakhir ini, adalah hasil daripada perubahan dan reformasi yang berjaya dilaksanakan termasuk pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

“Kita mengalu-alukan siri pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri yang dianggap sebagai satu kelegaan bagi kumpulan penjawat awam, tetapi seperti yang Perdana Menteri sebutkan, pengumuman besar untuk penjawat awam juga akan diumumkan, insya-ALLAH, pada 10 Oktober depan sewaktu pembentangan Belanjawan 2026,” katanya. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!