Kodak nafi bakal gulung tikar, kekal utuh selepas 133 tahun

NEW YORK - Syarikat Eastman Kodak menafikan dakwaan bakal menggulung tikar.
Respons itu diberikan merujuk kepada laporan rangkaian berita seperti CNN dan CNBC pada Rabu lalu yang mendakwa ia sedang berdepan cabaran kewangan yang berterusan serta berpotensi bankrap.
Firma yang sudah beroperasi selama 133 tahun itu dengan segera menerbitkan siaran akhbar yang menjelaskan ia tiada rancangan untuk menghentikan operasi atau memfailkan perlindungan kebankrapan.
Sebaliknya, ia merancang untuk 'membayar, membiayai semula atau melanjutkan' hutangnya sebelum tamat tempoh.
Kodak menjangkakan ia mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh menjelang awal tahun depan dengan menggunakan wang tunai AS$300 juta (RM1.26 bilion) yang diterima pada Disember 2025 daripada pelan penamatan pencen untuk menangani hutang berjumlah AS$477 juta (RM2.0 bilion).
Ia kemudiannya akan menyelesaikan baki hutang sebanyak AS$177 juta (RM745 juta) dan satu lagi AS$100 juta (RM421 juta) dalam saham keutamaan yang masih tertunggak.
Syarikat itu bergelut dengan isu kewangan setelah teknologi digital mengatasi jualan filem hingga menyebabkan ia terpaksa memfailkan muflis pada 2012.
Sejak kebelakangan ini, segelintir Gen Z kembali menggunakan teknologi lama seperti kamera kompak dan telefon asas sebagai cara untuk memanfaatkan rasa nostalgia bagi suatu zaman yang tidak pernah mereka alami. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

