GE2025 Singapura: Menteri Maliki Osman akan bersara selepas 24 tahun

SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman akan bersara daripada politik dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), menandakan berakhirnya kerjaya politik yang menjangkau lebih dua dekad.
Maliki, yang telah berkhidmat lima penggal sejak 2001 berkata bahawa bersama Perdana Menteri Lawrence Wong, mereka bersetuju bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk beliau memberi laluan kepada calon baharu dan bersara daripada politik.
Menteri Kedua bagi Pendidikan dan Hal Ehwal Luar itu merupakan seorang daripada 12 Ahli Parlimen Melayu-Islam daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memenangi kerusi pada GE2020.
Beliau mewakili Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast sejak 2011. Dalam pilihan raya umum sebelum ini, beliau dan pasukan PAP berjaya memperoleh 53.39 peratus undi, menewaskan Parti Pekerja di kawasan lima anggota itu.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen GRC Sembawang dari 2001 hingga 2011.
"Berkhidmat kepada penduduk di GRC Sembawang, GRC East Coast dan sebagai Datuk Bandar CDC Tenggara adalah satu perjalananan yang memperkayakan diri saya.
"Terima kasih, penduduk yang dikasihi, kerana mengalu-alukan kehadiran saya di rumah dan kehidupan anda, dan membenarkan saya berkhidmat kepada anda sepanjang 24 tahun yang lalu. Saya akan sentiasa menghargai kenangan yang kita kongsi bersama," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kanan Lee Hsien Loong kerana mengamanahkan beliau dengan tanggungjawab sebagai pemegang jawatan politik sejak 2004, dan atas penghormatan berkhidmat di pelbagai kementerian.
Maliki berkata, ia merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan Lee, Perdana Menteri Lawrence Wong dan seluruh Kabinet.
"Paling bermakna untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ahli Parlimen Melayu-Islam dan pemimpin masyarakat untuk meningkatkan kehidupan melalui pelbagai program sosial. Menyaksikan kejayaan individu dan keluarga benar-benar memberi kepuasan yang mendalam," tambahnya.
Beliau menyatakan bahawa keutamaannya kini adalah untuk memastikan proses peralihan yang lancar dan mengumpulkan sokongan untuk pasukan GRC East Coast pada GE2025.
Maliki berkhidmat dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), serta di Kementerian Kesihatan.
Sebelum pelantikannya pada 2020, Maliki berkhidmat sebagai Menteri Kanan Negara bagi Pertahanan dan Hal Ehwal Luar, serta Datuk Bandar CDC Tenggara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
