115 kes kemalangan bas direkodkan dalam tempoh tujuh bulan, Jun tertinggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 115 kemalangan bas direkodkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, dengan bulan Jun mencatat angka tertinggi iaitu 70 kes termasuk 15 kematian.
Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, bulan Jun sahaja menyaksikan 70 kemalangan membabitkan bas, yang mengakibatkan 15 kematian, 13 cedera parah dan 42 cedera ringan.
Jumlah itu merupakan lonjakan mendadak berbanding bulan-bulan sebelumnya, yang hanya mencatat kes satu angka atau belasan sahaja.
Pada Januari, sebanyak 12 kes dilaporkan dengan satu kematian, tiga cedera parah dan lapan cedera ringan.
Februari pula mencatat tujuh kes tanpa kematian, satu cedera parah dan enam cedera ringan.
Mac menyaksikan 16 kemalangan dengan dua cedera parah dan 14 cedera ringan.
April merekodkan jumlah terendah iaitu satu kes, melibatkan seorang cedera ringan.
Mei pula mencatat dua kemalangan dengan satu cedera parah dan satu cedera ringan.
Selepas lonjakan pada Jun, angka kemalangan menurun semula pada Julai dengan tujuh kes direkodkan, mengakibatkan dua kematian dan lima cedera ringan.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya memandang serius trend peningkatan kes kemalangan membabitkan bas, khususnya lonjakan luar biasa pada bulan Jun.

"Kami akan meningkatkan penguatkuasaan menerusi pelaksanaan lebih banyak operasi melibatkan pemandu bas serta kempen keselamatan jalan raya yang memberi tumpuan kepada pengangkutan awam.
"Usaha ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi nyawa pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau turut mengingatkan pemandu bas supaya mematuhi had laju, mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan, serta mengelakkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
"Pemeriksaan teknikal berkala terhadap sistem brek, tayar dan komponen keselamatan lain wajib dilakukan bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan optimum.
"Keselamatan penumpang bergantung kepada tahap kecekapan pemandu dan kualiti penyelenggaraan kenderaan. Pemandu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap nyawa yang dibawa," katanya lagi.
Menurut beliau, pengusaha bas juga perlu memainkan peranan penting dengan memantau prestasi pemandu, menetapkan jadual perjalanan yang realistik tanpa tekanan masa berlebihan, dan mengutamakan keselamatan berbanding keuntungan.
"Pemilihan pemandu perlu dibuat secara teliti termasuk menyemak rekod kesalahan lalu lintas, ujian pengambilan dadah, serta latar belakang jenayah.
"Semua saman yang dikeluarkan juga perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang boleh menjejaskan operasi syarikat dan menyusahkan penumpang," jelas beliau.
Tambahnya, semua pihak diminta memberi kerjasama penuh dalam memastikan keselamatan jalan raya terus terpelihara dan mengelakkan tragedi yang meragut nyawa berulang.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian menyayat hati pada 9 Jun lalu, apabila 15 individu maut dan tujuh lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding.
Kejadian berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan pulang ke universiti sebelum ia terbabit dalam kemalangan dan terbalik di lokasi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

