Visa masuk berganda perkukuh hubungan Malaysia-Bangladesh

Muhammad Yunus diiringi oleh Saifuddin Nasution selaku Menteri Pengiring sebelum berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, di Kompleks Bunga Raya pada Khamis. Foto Bernama
Muhammad Yunus diiringi oleh Saifuddin Nasution selaku Menteri Pengiring sebelum berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, di Kompleks Bunga Raya pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Bangladesh memperkukuh kerjasama strategik merangkumi pelbagai sektor berimpak tinggi, termasuk tenaga, pertahanan, halal, pendidikan, semikonduktor, STEM dan ekonomi biru, melalui pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta tiga Nota Persefahaman yang ditandatangani baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pelaksanaan Visa Masuk Berganda (Multiple Entry Visa – MEV) untuk pekerja Bangladesh di Malaysia.

“MEV membolehkan pekerja sah pulang menziarahi keluarga di tanah air dan kembali bekerja di Malaysia tanpa memohon visa baharu setiap kali perjalanan.

“Langkah ini adalah simbol penghargaan Malaysia terhadap sumbangan besar warga Bangladesh dalam pelbagai sektor ekonomi, selain mewujudkan pengurusan pekerja asing yang lebih mesra dan progresif,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Saifuddin yang menjadi menteri pengiring semasa lawatan rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus ke Malaysia berkata, kunjungan itu membuktikan hubungan dua hala kedua-dua negara kukuh dan berlandaskan prinsip saling menghormati.

Beliau berkata, Malaysia turut menghargai peranan Bangladesh dalam menangani isu pelarian Rohingya dan menyatakan sokongan terhadap misi damai ASEAN ke Myanmar demi memastikan kestabilan dan keamanan serantau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!