DEFM, Megajana jalin kerjasama strategik pacu infrastruktur lestari Selangor

SHAH ALAM - Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pendinginan Megajana Sdn Bhd bagi memperkukuh pembangunan Sistem Penyejukan Berpusat (District Cooling System, DCS) di negeri ini.
Kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga dan mendukung pembangunan infrastruktur hijau serta aspirasi bandar dan kawasan industri berstatus Net Zero di Selangor.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Rabu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DEFM, Rusman Md Lizah serta Pengerusi Megajana, Datuk Norhalim Yunus. Ia turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Turut hadir, Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir. Izham Hashim; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop; dan Pengurus Besar Kanan Megajana, Dr Mohd Hafiz Ibrahim.
Menurut Rusman, kerjasama itu merupakan langkah menyelaras usaha negeri dan negara dalam mencapai sasaran kecekapan tenaga serta pelepasan karbon sifar bersih.
“Ia bukan sekadar dokumen MoU, sebaliknya menjadi asas kukuh kepada inovasi lestari dan peralihan hijau negeri,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, kerjasama itu akan merangkumi pembangunan teknologi pintar termasuk Internet Benda (IoT), analitik data dan automasi bagi memantapkan pengurusan fasiliti dan sistem penyejukan.
“Kami turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan digital twins, papan pemuka bandar pintar serta integrasi sistem pintar dalam pengurusan aset,” katanya.
MoU ini juga menyasarkan pelaksanaan bersama projek bandar dan kawasan industri Net Zero, dengan penekanan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pengurangan jejak karbon.
DEFM dijangka akan memanfaatkan kepakaran Megajana dalam kejuruteraan, pengurusan projek dan aset untuk pelaksanaan projek infrastruktur secara menyeluruh di bawah naungan MBI.
Skop kerjasama turut merangkumi kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk optimum, pemantauan projek serta integrasi penyelesaian kelestarian seawal peringkat perancangan bagi mengurangkan kos penyesuaian pada masa hadapan.
Megajana merupakan syarikat usaha sama antara Cyberview Sdn Bhd dan ENGIE Services Malaysia Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan penyejukan berpusat di Cyberjaya sejak 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!