Jelajah Antirasuah IPMA terima sambutan luar biasa

Pelajar KPM Bandar Penawar Kota Tinggi bergambar selepas menjayakan Program Jelajah Antirasuah IPMA di kolej berkenaan pada Rabu.
Pelajar KPM Bandar Penawar Kota Tinggi bergambar selepas menjayakan Program Jelajah Antirasuah IPMA di kolej berkenaan pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT – Kesedaran mengenai bahaya rasuah terus diperkukuhkan dalam kalangan pelajar apabila Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) yang dianjurkan bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rasuah Busters menerima sambutan luar biasa di dua buah kolej Mara di negeri ini.

Program yang memulakan siri jelajahnya di Johor Bahru diteruskan di Kolej Profesional Mara (KPM) Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Rabu sebelum singgah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading pada Khamis.

Setiap sesi menampilkan pengisian ceramah, perbincangan interaktif dan perkongsian pengalaman berkaitan isu integriti serta penolakan rasuah dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.

Pengarah KKTM Sri Gading, Azman Ali berkata, inisiatif ini sangat bertepatan dengan usaha kolej untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga mempunyai pegangan moral yang kukuh.

“Program ini merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti peningkatan integriti yang sering kita adakan di KKTM Sri Gading.

"Ia mengingatkan warga kolej khususnya pelajar, bahawa nilai ini perlu terus dipertahankan kerana mereka adalah pewaris institusi pada masa depan. Pendedahan awal seperti ini mampu membentuk generasi yang lebih berprinsip,” katanya.

Sementara itu di KPM Bandar Penawar, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik kolej itu, Dr Musa Mohamad Ali berkata, penyertaan pelajar menunjukkan minat pelajar terhadap isu tersebut.

“Rasuah adalah musuh yang tidak mengenal masa atau tempat. Kehadiran Rasuah Busters ke sini amat kami hargai kerana ia membuka minda bukan sahaja pelajar, malah staf, tentang bagaimana gejala ini boleh menular tanpa disedari.

"Kami berharap ia dapat diadakan secara berkala kerana pengisian program cukup baik dan pelajar mudah fahami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurhayati (empat dari kanan) bersama Azman (tiga dari kiri) selepas sesi Program Jelajah Antirasuah IPMA di Sri Gading.
Nurhayati (empat dari kanan) bersama Azman (tiga dari kiri) selepas sesi Program Jelajah Antirasuah IPMA di Sri Gading.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pendedahan kepada pelajar bukan sekadar melibatkan isu undang-undang, malah meliputi kemahiran mengenal pasti situasi berisiko rasuah dalam dunia pekerjaan.

"Mereka perlu tahu membezakan yang betul dan salah, mengesan tanda-tanda awal amalan tidak berintegriti, dan sedar bagaimana gejala ini boleh merosakkan industri.

"Kita mahu mereka menjadi ejen perubahan yang memastikan sektor yang mereka ceburi bebas daripada unsur rasuah,” jelasnya.

Bagi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar KKTM Sri Gading, Azrul Zaheruddin, ceramah yang disampaikan memberikan pengetahuan berguna kepada pelajar supaya mereka dapat memahami gejala rasuah dan mengelakkan diri daripada terlibat.

Pelajar KKTM Sri Gading bergambar selepas menjayakan Program Jelajah Antirasuah IPMA di kolej berkenaan pada Khamis.
Pelajar KKTM Sri Gading bergambar selepas menjayakan Program Jelajah Antirasuah IPMA di kolej berkenaan pada Khamis.

“Rasuah Busters membuka mata kami bahawa rasuah bukan sekadar isu undang-undang, tetapi satu gejala yang boleh merosakkan masa depan individu dan negara.

"Banyak perkara yang sebelum ini kami tidak tahu, kini kami faham bagaimana rasuah boleh bermula dengan perkara kecil dan akhirnya membawa kepada kerosakan yang besar.

"Dengan pendedahan seperti ini, kami sebagai pelajar dapat mengambil iktibar dan berjanji untuk menjauhkan diri daripada rasuah, sambil menjadi suara yang mengingatkan rakan-rakan lain supaya tidak terjebak,” katanya.

Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Geostruktur, Ammar Firdaus Zahari, 18, mengakui pendedahan yang diperoleh melalui ceramah tersebut memberinya pemahaman lebih mendalam tentang isu rasuah.

“Antara perkara penting yang saya pelajari daripada ceramah ini ialah memahami isu rasuah dari sudut agama, negara dan juga kehidupan seharian.

"Kesannya bukan sahaja kepada ekonomi negara, tetapi rupanya ia juga boleh menyebabkan kerugian kepada individu yang langsung tidak ada kaitan dengan perbuatan itu.

"Rasuah adalah salah satu musuh negara yang perlu diperangi bersama,” jelasnya.

Bagi pelajar Diploma Jalan Raya dan Pengangkutan, Khalimatul Ain Rosele, 25, kesedaran tentang bahaya rasuah perlu dimulakan sejak di peringkat kanak-kanak kerana bentuknya boleh hadir secara halus dan sukar dikesan.

“Kesedaran tentang bahaya rasuah perlu dipupuk di semua peringkat umur, terutamanya sejak kecil, kerana ia kadangkala hadir dalam bentuk yang halus dan sukar dikesan.

"Pendedahan awal ini penting supaya generasi muda lebih peka dan berani menolak perbuatan tersebut,” ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!