Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan bersidang kali pertama

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah berlangsung di Putrajaya pada Jumaat. Foto KPM
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah berlangsung di Putrajaya pada Jumaat. Foto KPM
A
A
A

SHAH ALAM – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah berlangsung di Putrajaya pada Jumaat sebagai langkah awal memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penubuhan jawatankuasa itu adalah lanjutan daripada usaha KPM meningkatkan keselamatan warga sekolah merangkumi murid, guru dan seluruh komuniti pendidikan.

Menurut kenyataan dikeluarkan KPM di Facebook pada Sabtu, fokus utama jawatankuasa berkenaan adalah menangani isu keselamatan yang berbangkit selain merangka penyelesaian terbaik demi menjamin kesejahteraan warga institusi pendidikan.

"Dalam mesyuarat pertama itu, jawatankuasa terbabit turut menetapkan hala tuju serta pelan tindakan komprehensif yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Keahlian jawatankuasa terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar dalam pelbagai bidang, pihak polis serta Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS)," menurut kenyataan itu.

Tokoh-tokoh menganggotai jawatankuasa terdiri daripada Pesuruhjaya Kanak-kanak Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki; wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Azlina Kamal serta Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Profesor Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Turut sama, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim; Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) KPJ Healthcare University, Profesor Dr Dayang Anita Abdul Aziz.

Selain itu, jawatankuasa turut dianggotai Presiden Majlis Belia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Pengerusi ARUS Academy; Alina Amir; wakil Focal Person PIBKS, Mohd Shaffik Mohd Kamil; Ketua Pengarah Unit Pantau Madani,Mohd Khalid Mohamed Latiff dan Pengamal Perubatan dan Pempengaruh Kesihatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan.

KPM menegaskan komitmen untuk memperkasakan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!