Semua masjid, surau di Kedah diseru anjur bacaan Yasin, solat hajat khas untuk Zara

ALOR SETAR - Semua masjid di Kedah diseru untuk mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Khas secara serentak sebagai tanda solidariti dan mendoakan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu.
Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, majlis tersebut dijadual berlangsung selepas solat Maghrib di masjid dan surau masing-masing pada Khamis.
Menurutnya, majlis berkenaan dianjurkan sebagai simbolik tanda penyerahan seorang hamba kepada ALLAH SWT dalam setiap perkara.
“Ia juga sebagai solidariti serta simpati kerajaan negeri kepada kes yang berlaku kepada adik Zara.
“Kita mahu bangkitkan kesedaran supaya kes buli tidak berleluasa dalam institusi pendidikan khasnya dan dalam masyarakat amnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Azam berkata, semoga ALLAH SWT permudahkan segala urusan pihak-pihak yang menyiasat kes tersebut dan keadilan dapat ditegakkan.
“Kita mengajak seluruh umat Islam di negeri ini hadir sebagai tanda kasih dan memohon kepada ALLAH SWT agar mengampuni dosa Allahyarham, mencucuri rahmatNya dan menempatkan beliau kalangan orang beriman,” katanya.
Zara Qairina, 13, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk di media sosial apabila ia didakwa dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

