Akak Pink mahir kendali kenderaan 4x4

SEREMBAN - Siapa sangka wanita bertubuh kecil dan mesra disapa ‘Akak Pink’ ini bukan sahaja cekap di dapur malah mahir mengendalikan jentera pacuan empat roda (4x4) di trek mencabar.
Azlinda Kasim, 31, ibu kepada dua cahaya mata ini, mula menceburkan diri dalam sukan lasak tersebut sejak 2018 selepas mendapat galakan suaminya.
“Masa mula-mula, suami ajak cuba jadi co-pilot. Dari situ, saya rasa seronok dan mula belajar bawa sendiri jentera 4x4 ini.
“Lama-kelamaan, saya jadi gian pula kalau tak pegang stereng. Setiap dua minggu, saya pasti sertai mana-mana program atau pertandingan untuk terus tingkatkan kemahiran pemanduan,” katanya kepada Sinar Harian.
Azlinda yang menggemari aktiviti luar termasuk perkhemahan berkata sokongan rakan sepasukan dan suaminya menjadi pemangkin buatnya untuk lebih serius dalam sukan tersebut.

“Mulanya sekadar suka-suka saja tapi lepas itu saya masuk pertandingan. Pernah menang kategori wanita dan pernah juga bersaing dengan peserta lelaki – dalam 30 kereta, saya dapat nombor 11,” katanya.
Bercerita lanjut, Azlinda yang juga seorang tukang urut memaklumkan minatnya disokong suami yang menghadiahkan Kia Sportage diberi nama ‘Baby Pink’ sempena hari lahir pada tahun 2020.
“Kereta terpakai ini kemudian kami naik taraf untuk lebih tahan lasak sesuai untuk sertai pertandingan. Setakat ini lebih RM10,000 dibelanjakan bagi tujuan itu.
“Baby Pink jadi peneman setia untuk saya teruskan hobi saya dalam sukan lasak ini. Suami yang juga pemilik bengkel kenderaan, turut aktif dalam sukan 4x4 dan mempunyai dua jentera sendiri,” tambahnya.

Ditanya mengenai bahaya menanti apabila menyertai sukan berkenaan, dia berkata, amat mementingkan aspek keselamatan dan setakat ini bebas daripada kecederaan serta tidak pernah mengalami kemalangan serius.
“Kalau ikutkan trek sekarang tidak ekstrem sangat seperti yang profesional punya tapi tetap kena hadap jalan becak, berlubang, masuk longkang serta redah halangan pokok pun ada.
“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menyertai satu pertandingan dalam hujan lebat.
“Ketika itu jalan licin, berlumpur, stereng jadi berat dan hampir masuk gaung. Tapi suami bantu arahkan dari sebelah. Masa tu memang mencabar,” katanya.
Mengulas tentang penglibatan wanita dalam sukan ekstrem, Azlinda mengakui ia masih dipandang janggal oleh sesetengah pihak, namun percaya golongan wanita juga mampu bersaing.
“Perempuan jangan takut. Kalau tak berani bawa dulu, duduk sebelah pun tak apa. Dari situ kita boleh ambil mood dan keyakinan
“Alhamdulillah, setakat ini belum pernah cedera serius, cuma badan memang lenguh-lenguh selepas pertandingan.
“Saya kini memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi kemahiran pemanduan dan bercita-cita menyertai pertandingan trek yang lebih ekstrem pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

