Pemandu pacuan empat roda langgar suami isteri disambung reman sehari

KUALA LUMPUR – Pemandu pacuan empat roda yang melanggar sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri berhampiran Plaza Tol Jalan Duta pada Sabtu lalu disambung reman sehari lagi bagi siasatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek sebelum ini telah direman selama dua hari dan perintah tersebut kini disambung sehari lagi.
"Susulan permohonan reman yang dibuat, perintah reman selama sehari telah dikeluarkan terhadap suspek.
"Esok (Selasa) kira-kira jam 8.30 pagi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan sekiranya ada arahan pertuduhan, maka pertuduhan terhadap suspek akan dijalankan pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan dan pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan saksi-saksi kemalangan lain yang berada di lokasi kejadian.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan bahawa pemandu pacuan empat roda tersebut bukan pemilik berdaftar kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
"Setakat ini disahkan pemandu yang ditahan bukan pemilik pacuan empat roda yang terlibat ketika kejadian," tambahnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa sepasang suami isteri mengalami kecederaan selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda berdekatan Plaza Tol Jalan Duta.
Susulan kejadian itu, pemandu berkenaan telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!